Pekerja kilang simen piket elaun tak naik 6 tahun

Piket yang diadakan pekerja pada sebelah bagi melibatkan hampir 100 orang di hadapan pintu masuk sebuah kilang simen di sini pada Isnin.
Piket yang diadakan pekerja pada sebelah bagi melibatkan hampir 100 orang di hadapan pintu masuk sebuah kilang simen di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Hampir 100 pekerja sebuah kilang simen di sini mengadakan piket secara aman apabila pihak syarikat bertindak memfailkan kes ke Jabatan Perhubungan Perusahaan tanpa berunding dengan kesatuan berkaitan tuntutan dibuat pekerja.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Simen (CIEU) Semenanjung Malaysia, P Thamotharan berkata, pada peringkat awal rundingan telah dibuat antara pihak syarikat dengan kesatuan mengenai semua tuntutan namun terdapat 11 perkara yang tidak dipersetujui syarikat termasuklah kenaikan elaun syif kerana tidak pernah berubah sejak enam tahun lalu.

Thamotharan ketika sidang akhbar di Ipoh.
Thamotharan ketika sidang akhbar di Ipoh.

Menurutnya, susulan itu pada 1 April pihak kesatuan menyerahkan cadangan baharu terhadap perjanjian tersebut kepada pihak syarikat namun pada 19 April pihak kesatuan menerima notis bahawa majikan telah memfailkan kes tersebut kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.

"Ini bukan suara saya tetapi 256 pekerja yang masih menjadi ahli kesatuan seterusnya membawa kepada tindakan di bawah Seksyen 40 Akta Perhubungan Perusahaan untuk kami berpiket secara aman.

"Memang menghampakan tiba-tiba kes dibawa ke Jabatan Perhubungan Perusahaan tanpa sebarang perbincangan kerana kita dah hantar surat kepada pihak syarikat pada 1 April dan syarikat mestilah memaklumkan kepada kesatuan sama ada terima atau tidak tapi ia tidak berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar kilang berkenaan di sini pada Isnin.

Thamotharan berkata, selain memohon kenaikan elaun syif, antara 11 perkara yang enggan diterima majikan di dalam perjanjian bersama itu termasuklah elaun perumahan, perlindungan perubatan dan sebagainya.

Sementara itu, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan turut hadir mendengar aduan daripada pihak kesatuan serta mengadakan mesyuarat dengan majikan selama 40 minit.

Artikel Berkaitan:

Sivanesan (kanan) bertemu dengan wakil kesatuan sebelum mengadakan mesyuarat dengan majikan di sebuah kilang simen di Ipoh pada Isnin.
Sivanesan (kanan) bertemu dengan wakil kesatuan sebelum mengadakan mesyuarat dengan majikan di sebuah kilang simen di Ipoh pada Isnin.

Bercakap kepada media, Sivanesan menjelaskan mesyuarat selama 40 minit itu turut disertai Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan serta wakil kesatuan.

Menurutnya, pihak majikan memaklumkan bahawa 11 perkara yang menjadi tuntutan kesatuan tidak dapat ditunaikan kerana melibatkan implikasi kewangan.

"Selepas perbincangan selama kira-kira 40 minit, majikan telah bersetuju untuk berbincang semula dengan kesatuan. Jadi pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan telah menetapkan 2 Mei untuk perbincangan pendamaian.

"Mereka akan mula balik untuk perbincangan di antara majikan dan kesatuan dan kita telah beri tempoh dua minggu untuk menamatkannya. Kalau dalam tempoh dua minggu tidak boleh selesai, maka Jabatan Perhubungan Perusahaan akan mulakan dengan proses perbincangan pendamaian," katanya.

Terdahulu kira-kira 7.15 pagi seramai hampir 100 pekerja kilang simen berkenaan mengadakan piket secara aman di hadapan pintu masuk tempat mereka bekerja bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan majikan mereka.

Bagaimanapun, piket secara aman yang dijadual dilangsungkan pada sebelah petang dibatalkan susulan arahan Sivanesan setelah perbincangan dibuat bersama pihak majikan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!