Pegawai keselamatan ditahan curi barang pejabat

Wan Azharuddin (tengah) menunjukkan peralatan pejabat yang dicuri pengawal keselamatan ketika bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.
Wan Azharuddin (tengah) menunjukkan peralatan pejabat yang dicuri pengawal keselamatan ketika bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pengawal keselamatan di sebuah pejabat penerangan, di sini ditahan kerana disyaki mencuri peralatan pejabat ketika bertugas sempena Hari Raya Aidilfitri lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lelaki terbabit ditahan berdasarkan maklumat hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran.

Menurutnya, suspek yang merupakan pengawal keselamatan gantian mengambil kesempatan melakukan kegiatan itu semasa bertugas seorang diri pada hari berkenaan.

"Berdasarkan laporan yang diterima dari kakitangan pejabat berkenaan pada 13 April lalu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda melakukan Operasi 'Op Pintu' untuk mengesan suspek.

"Kita berjaya menahan pengawal keselamatan berusia 39 dan seorang lelaki lain berusia 41 tahun yang disyaki bertindak sebagai orang tengah menjual peralatan yang dicuri," katanya pada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini pada Isnin.

Menurut Wan Azharuddin, berdasarkan serbuan itu, polis merampas tiga komputer riba pelbagai jenis, sebuah beg galas, sebuah mesin pencetak, dua CCTV dan banyak lagi.

"Kedua-suspek turut dikesan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine," katanya.

Beliau berkata, suspek pengawal keselamatan itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dua rekod berkaitan dadah manakala seorang lagi suspek mempunyai 15 rekod berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28