Guru lelaki pukul rakan sekerja wanita direman tiga hari

Suspek (kiri) ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes pukul guru wanita di sebuah sekolah di Kemaman pada Ahad.
Suspek (kiri) ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes pukul guru wanita di sebuah sekolah di Kemaman pada Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang guru lelaki yang didakwa memukul rakan sekerjanya dalam kejadian di kantin sebuah sekolah di daerah ini direman selama tiga hari bermula Isnin bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki berkenaan sebelum ini ditahan di sebuah kuarters guru kira-kira jam 9.30 malam pada Ahad sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut.

Katanya, penahanan suspek dilakukan susulan laporan yang dibuat mangsa di Balai Polis Air Putih jam 8.20 pagi pada Ahad.

"Mangsa yang juga guru Bahasa Inggeris berusia 32 tahun memaklumkan ditumbuk dan disepak suspek di kawasan kantin sekolah sekitar jam 6.55 pagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, pada Isnin.

Difahamkan, insiden berlaku di sebuah sekolah rendah itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan lebam pada mata sebelah kiri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: