X

Kindly register in order to view this article
!

Arah semua masjid adakan solat sunat Istisqa: Mukhriz

Mukhriz Mahathir
A
A

ALOR SETAR - Semua masjid diarahkan mengadakan solat sunat Istisqa (solat minta hujan) Jumaat ini susulan musim kemarau yang melanda negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu umat Islam di negeri iitu mendoakan kesejahteraan agar Kedah menerima hujan, sekaligus membantu meningkatkan bekalan air di negeri ini.

Menurutnya, ini kerana pembenihan awan masih tidak dapat dilakukan ekoran ketiadaan awan yang sesuai.

“Kita masih menunggu waktu yang sesuai. Kita perlu tunggu awan mencukupi agar proses pembenihan lancar,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cina Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Mukhriz berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk melakukan pembenihan awan pada bila-bila masa.

“Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sentiasa siap siaga sejak November lalu, namun keadaan cuaca (awan) tidak kondusif untuk pembenihan,” katanya.

Menurutnya, biarpun begitu, kerajaan negeri belum bercadang melaksanakan catuan air kepada pengguna, sebaliknya meminta kerjasama penduduk untuk berjimat dalam penggunaan air.

“Setakat ini tiada cadangan tetapi kita pantau paras air empangan selain minta penduduk berjimat dalam penggunaan air,” katanya.

Mukhriz berkata, paras air di semua empangan di negeri ini, iaitu Empangan Pedu dan Empangan Ahning di Padang Terap; serta Empangan Muda dan Empangan Beris di Sik turut terjejas.

“Paras air sungai pun sudah agak rendah, malah ada kawasan di negeri ini mengadu bekalan air makin kurang. Pada waktu sama, saya mohon kawasan yang masih belum terjejas bekalan air agar berjimat. Jangan guna terlalu banyak air pada musim kemarau,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus