DFINITY lancar platform Olympus

No Image Caption
A
A
A

ZURICH - Yayasan DFINITY (DFINITY) menyalurkan dana pembiayaan sebanyak AS$20 juta (RM95.88 juta) kepada ICP Asia Alliance (ICP-AA) bagi melaksanakan operasi program rintis Platform Pemacu Olympus (Olympus) yang berpotensi mengukuhkan jangkauan rangkaian Protokol Komputer Internet (ICP) global.

Olympus merupakan platform pemacu blok rantai global tidak berpusat (decentralization blockchain) yang pertama dalam Web3.

Malah, Olympus memberikan interaksi yang lebih baik antara pengguna, kontrak pintar (smart contracts) serta keupayaan untuk menyertakan lebih banyak fungsi dan fleksibiliti dalam ekosistem blok rantai.

Menurut Pengasas dan Ketua Saintis DFINITY, Dominic Williams, Olympus menyokong pembangunan dan penggunaan teknologi Web3 merentasi pelbagai ekosistem.

"Platform pemacu (Olympus) ini merupakan platform rintis seumpamanya yang akan digunakan oleh pasukan di seluruh dunia untuk mengatur dan melancarkan program pemacu tersendiri.

"Melalui penyaluran dana kepada ICP-AA, ia bakal memupuk ekosistem Web3 dan AI (kecerdasan buatan) yang dinamik di Asia," jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Dominic, Olympus menggalakkan lagi proses nyahpusat, inovasi dan keusahawanan sekali gus menjana pelbagai projek baharu menerusi komputer Internet dan ekosistem lain pada masa depan.

Malah, dengan Olympus katanya, ia mampu menyatukan bakat, projek, pelabur dan mentor terbaik untuk mewujudkan pasaran yang boleh dipercayai, tanpa perantara menerusi peluang serta akses yang setara.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan hasrat DFINITY untuk memperluaskan lagi jangkauan rangkaian Olympus menerusi peruntukan dana dan perjanjian baharu pada masa depan meliputi benua Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika.

"Menjelang akhir tahun 2024, platform ini akan beralih menjadi organisasi autonomi tidak berpusat (DAO). Untuk memastikan kelestarian platform dan kebebasan daripada geran, kohort masa depan akan dibiayai melalui Token Generated Event (TGE) disusuli dengan pengumpulan dana daripada komuniti.

"Hal ini juga dapat memastikan semua pihak berkepentingan memperoleh manfaat daripada kejayaan platform sebagai pemegang token," jelas Dominic yang turut memberitahu Olympus menyediakan akses kepada geran, pendanaan awam (crowdfunding), pelaburan modal teroka dan rujukan dalam blok rantai.

Antara pelabur modal teroka yang menyertai Olympus ialah Fenbushi Capital, Fundamental Labs, Softbank Vision Fund, NewTribe Capital, Cypher Capital, Bitcoin Frontier Fund, Summer Ventures, L2IV, Dext Force Ventures, Leadblock Partners, BTC Capital, Cipholio Ventures, Chiron Group, 3X Capital, Plutus dan VC.

Pengasas dan pemaju yang berhasrat menyertai Olympus boleh mendapatkan maklumat lanjut dan menghantar butiran projek masing-masing dengan melayari www.internetcomputer.org.