Kedah naikkan elaun MKK jika kewangan kukuh - Sanusi

Sanusi menyampaikan watikah pelantikan kepada Pegawai Daerah Yan, Maznim Ismail (tengah) di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah di Kuala Ketil pada Ahad.
Sanusi menyampaikan watikah pelantikan kepada Pegawai Daerah Yan, Maznim Ismail (tengah) di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah di Kuala Ketil pada Ahad.
A
A
A

BALING - Kerajaan Kedah berhasrat menaikkan elaun pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) sekiranya kedudukan kewangan lebih kukuh pada tahun akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menjelaskan, buat masa ini elaun kedua-duanya iaitu sebanyak RM500 dan RM300 sebulan masih dikekalkan.

"Saya tahu (elaun) tidak mencukupi dalam melaksanakan tugas dan peranan MKK, oleh sebab ini, kerajaan negeri amat berterima kasih dan menghargai semangat kesukarelawan mereka yang terus berkhidmat.

"Insya-ALLAH akan tunaikan hasrat (kenaikan elaun) akan ada pengumuman yang lebih baik pada masa akan datang Insya-ALLAH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Konvensyen dan Penyerahan Watikah MKK Negeri Kedah Tahun 2024 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah di Kuala Ketil pada Ahad.

Sanusi (tujuh dari kiri) hadir ke Konvensyen dan Penyerahan Watikah MKK Negeri Kedah Tahun 2024 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah di Kuala Ketil pada Ahad.
Sanusi (tujuh dari kiri) hadir ke Konvensyen dan Penyerahan Watikah MKK Negeri Kedah Tahun 2024 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah di Kuala Ketil pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, kehadiran luar jangka lebih 2,400 penerima termasuk 1,240 pengerusi dan 1,240 setiausaha di Kedah membuktikan sokongan dan dokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri.

"Saya rasa teruja kehadiran ramai, ini menunjukkan kerajaan negeri sentiasa mendapat sokongan padu seluruh kepimpinan termasuk akar umbi yang diwakili pengerusi dan setiausaha MKK.

Artikel Berkaitan:

"Saya tiada kebimbangan apa-apa, bila sebuah kerajaan mendapat sokongan penuh dan difahami oleh pimpinan dan rakyat di bawah, maka pentadbiran kerajaan berjalan lancar," jelasnya.

Sanusi berkata, indikator atau kayu ukur sebenar tentang sokongan kepada kerajaan negeri boleh dilihat pada majlis berkenaan dan bukanlah paparan di media sosial yang boleh direkayasa.

"Ini bukan rekayasa, mereka hadir secara sukarela untuk mengikuti program penyampaian watikah ini, mengejutkan saya juga, ramai, di luar jangkaan, penuh dewan sehingga ke tingkat atas menunjukkan tanda sokongan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!