Keluarga menangis, penghantar barang terlepas tali gantung

Mohd Shahril Faizal (kanan) bersama peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Mohd Shahril Faizal (kanan) bersama peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pembebasan seorang penghantar barang daripada hukuman gantung kerana tuduhan mengedar dadah disambut dengan linangan air mata oleh ahli keluarganya sebaik keputusan dibuat di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Ahad.

Hakim, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh, Mohd Shahril Faizal Fauzi, 32, selepas pihak pendakwaan didapati gagal menimbulkan prima facie pada keputusan di akhir kes pendakwaan.

Mohamad Abazafree dalam alasan penghakiman berkata, beberapa isu berbangkit dalam perbicaraan kes termasuk kertas bungkusan dadah dan kotak-kotak lain barangan kes yang tidak dikemukakan.

Kata beliau, antaranya terdapat kertas surat khabar berbahasa Thai yang digunakan untuk membaluti kotak barang kes tetapi tidak dikemukakan semasa perbicaraan menunjukkan wujud kacau ganggu ke atas barang tersebut.

“Mahkamah juga memutuskan bahawa tidak lagi relevan kerana pihak pendakwaan bersandarkan kepada andaian pengedaran ke atas pembuktian pemilikan sedangkan elemen pemilikan tidak berjaya dibuktikan.

“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh dari pertuduhan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar 1.96 kilogram methamphetamine dalam sebuah kereta jenis Proton Pesona berwarna kelabu di sekat pintas Jalan Kasban Pasir Mas pada jam 10.30 pagi, 19 April 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39(2) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, seksyen terbabit peruntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat minimum 15 sebatan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd Jabar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent.

Sementara itu, pada prosiding terbabit, ahli keluarga termasuk isteri tertuduh yang hadir dilihat sebak dan mengesat air mata sejurus keputusan tersebut dibacakan hakim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!