KEMAS16, POP25 diumum di peringkat cabang sepanjang 2024-2025

Anwar diapit Rafizi (kiri) dan Saifuddin ketika majlis pelancuran risalah KEMAS16 dan POP25 pada Konvensyen 25 Tahun PKR di IDCC, Shah Alam pada Ahad. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Anwar diapit Rafizi (kiri) dan Saifuddin ketika majlis pelancuran risalah KEMAS16 dan POP25 pada Konvensyen 25 Tahun PKR di IDCC, Shah Alam pada Ahad. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Kerangka Keadilan Menang Siri Pilihan Raya Umum ke-16 (KEMAS16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 (POP25) bakal diumumkan di peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) seawal Mei 2024 hingga 2025 akan datang.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, selepas konvensyen selesai, Majlis Pimpinan Parti (MPP) akan memetakan tanggungjawab kepada semua pimpinan dan biro supaya tahu peranan bidang masing-masing.

“Jadualnya akan dikeluarkan supaya MPP dan wakil rakyat tertentu dapat mengetuai gerak kerja POP25 serta KEMAS16 ke peringkat negeri.

“Insya-ALLAH saya bersama pimpinan lain akan mulakan mesyuarat kendalian dan kelolaan, kita akan berubah kepada mod pilihan raya sebaik sahaja konvensyen ini tamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan resolusi sebagai penutup Konvensyen 25 Tahun Keadilan yang berlangsung di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC), di sini pada Ahad.

KEMAS16 merupakan antara inisiatif bagi persediaan menghadapi siri pilihan raya ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijalankan secara bersepadu oleh jabatan pilihan raya di peringkat pusat (JPRP) dan cabang.

POP25 pula adalah program yang digerakkan oleh MPP, Majlis Pimpinan Negeri (MPN), cabang, ranting dan seluruh anggota akar umbi mengikut kepakaran serta kawasan tumpuan.

Hadir sama, Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pandan terbabit turut menzahirkan ucapan terima kasih buat kesemua ahli parti di peringkat akar umbi atas kesudian menghadiri konvensyen berkenaan yang sudah berlangsung sejak 8.30 pagi tadi.

Tambah beliau, pihaknya menghargai kehadiran peserta konvensyen dengan jangkaan hampir 5,000 orang tidak termasuk Sabah dan Sarawak yang turut meluangkan masa secara dalam talian.

“Kita dah jelaskan mengenai gerak kerja, sasaran, kayu ukur dan kekuatan untuk menggerakkannya secara selari.

“Risalah rasmi tersebut telah diedarkan kepada semua dan ia akan dilancarkan di konvensyen di setiap negeri yang jadualnya dimaklumkan kemudian,” ujarnya lagi.


Pimpinan parti adakan mesyuarat pantau pelaksanaan KEMAS16, POP25

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan mesyuarat dengan biro politik dan perjumpaaan bulanan bersama Majlis Pimpinan Parti (MPP) bagi memantau serta memberikan arahan jelas berhubung pelaksanaan pelan strategik parti berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemantauan bagi Kerangka Menang Siri Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 (POP25) itu amat diperlukan dengan harapan supaya ia tidak kucar-kacir serta dibuat secara berkesan.

“Konvensyen ini telah meluncurkan satu pelan strategik yang sangat jelas tentang bagaimana PKR akan memandu parti di peringkat negeri dan Parlimen dalam usaha menguatkan organisasi.

“Kita akan beri arahan lebih jelas kerana jika pelan itu baik tapi kucar-kacir, maka ia takkan berkesan.

“Ia merupakan anjakan utama daripada PKR sesuai dengan usianya yang sudah memasuki 25 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Konvensyen 25 Tahun Keadilan yang berlangsung di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC), di sini pada Ahad.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28