Usah kecewakan Tunku Ismail buat kali kedua

Keadaan padang Stadium Nasional yang rosak selepas konsert Ed Sheeran.
Keadaan padang Stadium Nasional yang rosak selepas konsert Ed Sheeran.
A
A
A

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) diharap tidak hanya pandai menabur janji dan menjaga padang hibrid yang dikurniakan oleh Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim kepada Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan baik.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, isu kerosakan padang yang sentiasa berulang bukan kerana masalah jenis rumput yang ditanam sebaliknya kepincangan pengurusan stadium menjaga padang itu.

Menurutnya, PSM perlu lebih profesional dan menjaga padang tersebut dengan baik selepas sekian lama isu rumput di stadium Nasional, Bukit Jalil mencemarkan imej negara.

“Saya tidak melihat masalah rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil itu adalah salah jenis rumput yang ditanam. Sebaliknya ia adalah silap pengurusan stadium.

“Contohnya saya ambil rumput jenis Zeon Zoysia yang ditanam sebelum ini. Selepas mula ditanam memang ada masalah pada kejohanan Pestabola Merdeka apabila rumput tertanggal.

“Namun, selepas itu rumput tersebut dipuji ketika Malaysia menentang Kyrgyzstan (Kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia) kerana rumput berada dalam keadaan elok akibat tidak diganggu langsung," katanya kepada Sukan Sinar.

Bagaimanapun, beliau berkata, rumput tersebut rosak semula ketika perlawanan akhir Piala Malaysia pada Disember kerana sebelum itu PSM membenarkan konsert Coldplay diadakan.

“Pada Mac pula ketika perlawanan Malaysia menentang Oman, rumput tidak seperti diharapkan selepas satu lagi konsert Ed Sheeran dilangsungkan kira-kira sebulan sebelum perlawanan.

Artikel Berkaitan:

“Mengikut kronologi ini memang jelas kalau rumput dijaga dengan baik tak akan timbul apa-apa masalah, ”katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Sebelum ini, Tunku Ismail berkenan mengurniakan padang jenis hibrid bagi menggantikan rumput Zeon Zoysia yang juga hadiah daripada Pemangku Sultan Johor itu ditanam di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ia selepas keprihatinan Tunku Ismail melihatkan keadaan rumput yang sentiasa rosak pada setiap aksi membabitkan skuad Harimau Malaya dan menggantikan dengan rumput hibrid yang lebih sesuai untuk acara sukan dan bukan sukan.

PSM menyambut baik kurniaan padang hibrid itu dan berjanji komited menjaga dengan baik rumput tersebut.

Pekan berkata, beliau menyanjung tinggi keprihatinan Tunku Ismail yang tidak putus-putus membantu dalam usaha memastikan keadaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil berada pada tahap terbaik.

“Saya harap PSM tidak sekali lagi mengecewakan Tunku Ismail dan menjaga padang dengan baik.

“Memang kajian yang dibuat menyatakan rumput hibrid ini lebih sesuai untuk digunakan bagi acara sukan dan bukan sukan, tetapi persoalannya jika tidak pandai menguruskan nanti dan kita lanyak juga, adakah ia tetap akan berada pada tahap terbaik?

“Saya harap cadangan penukaran rumput hibrid ini adalah yang terakhir dan kita tidak akan ada lagi masalah rumput ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!