Kanak-kanak tujuh tahun maut nahas dua kereta

Keadaan dua kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Foto ihsan IPD Iskandar Puteri
Keadaan dua kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Foto ihsan IPD Iskandar Puteri
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut manakala bapanya cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Jalan Persiaran Indah, Bukit Indah, di sini pada Sabtu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Deputi Superintenden Ibrahim Mat Som, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 1.38 petang daripada seorang wanita yang mendakwa suami dan anaknya terlibat dalam kemalangan terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Axia dan kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X1.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang bergerak lurus di Jalan Persiaran Indah Utama telah merempuh BMW X1 yang membelok kanan ke Jalan Indah 2/11, Bukit Indah.

"Akibatnya, pemandu Perodua Axia berusia 40 tahun, cedera di kaki manakala anaknya perempuannya berusia tujuh tahun meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital kerana kecederaan parah di kepala.

"Sementara itu, pemandu BMW X1, seorang wanita warga tempatan berusia 56 tahun mengalami kecederaan di kepala dan badan," katanya.

Kesemua mangsa yang terselamat masih menerima rawatan di hospital.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!