Penghantar makanan wanita, kanak-kanak dua tahun maut kemalangan

Keadaan motosikal ditunggang mangsa bersama dua pembonceng selepas kejadian.
Keadaan motosikal ditunggang mangsa bersama dua pembonceng selepas kejadian.
A
A
A

GOMBAK - Seorang penghantar makanan bersama kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kemalangan di Kilometer 10.2 Jalan Batu Caves menghala Selayang pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Abang Kaderi Abang Wasli berkata, laporan kejadian diterima sekitar jam 8.30 malam.

Menurutnya, motosikal ditunggangi wanita yang membonceng seorang rakan dan anak rakannya itu disyaki bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum terbabas.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa berusia 29 tahun bersama kanak-kanak lelaki itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

"Sementara rakan mangsa berusia 23 tahun mengalami cedera parah dan kini dirawat di Hospital Selayang, " katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil mambantu siasatan.

"Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan atau menghubungi ibu pejabat polis daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!