Allahyarham SUK Melaka berhasrat bina masjid baharu di Tebong

Hashim (kiri), dan laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Hashim (kiri), dan laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

ALOR GAJAH - Jawatankuasa Masjid Tebong, di sini akan berusaha membantu merealisasikan hasrat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Allahyarham Datuk Zaidi Johari untuk membina masjid baharu di Tebong.

Pengerusi Masjid Tebong, Hashim Kiehang, mengakui Allahyarham kaya dengan sifat pemurah dan menyatakan hasrat itu sejak beberapa bulan lalu sebelum Ramadan.

Menurutnya, biarpun tiada keperluan mendesak untuk membina masjid baharu, namun usaha murni Allahyarham wajar dipuji bagi memberi lebih keselesaan kepada jemaah.

Katanya, sebelum ini terdapat beberapa kesulitan berhubung masalah tanah wakaf bagi membina masjid baharu yang mana masjid lama boleh memuatkan lebih 100 jemaah dalam satu masa.

"Kemudian arwah memaklumkan beliau telah membeli sebidang tanah bersebelah rumah ibunya.

"Sekiranya tiada tanah arwah menyatakan mahu memberikan separuh bahagian daripada tanah itu untuk membina masjid baharu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Jelasnya, mengenali Allahyarham sejak lebih 10 tahun lalu, ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah Rembau dan pernah bertemu di sebuah kelab golf di Negeri Sembilan.

"Walaupun kami satu kampung tapi itu pertama kali saya mengenali arwah dan sikapnya pendiam dan suka tersenyum namun murah hati," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Zaidi meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mewakili kepimpinan kerajaan negeri turut mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham melalui akaun rasmi Facebooknya.

"Secara peribadi saya cukup terkesan dan amat berdukacita dengan berita pemergian Allahyarham akibat serangan jantung.

Pemergian Allahyarham dalam waktu yang singkat merupakan suatu kehilangan besar kepada seluruh warga perkhidmatan awam, khususnya di negeri Melaka," tulisnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!