Usah terbuai nostalgia lama, tiba masa bina legasi baharu - BAM

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

SKUAD badminton lelaki negara diingatkan agar tidak terbuai dengan nostalgia kegemilangan lampau pasukan kebangsaan, sebaliknya cuba untuk melakar sejarah baharu dengan merangkul Piala Thomas 2024 di Chengdu, China bermula 27 April-5 Mei ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, tiada gunanya Malaysia mengekalkan statusnya sebagai kuasa besar badminton dunia selagi tidak menjuarai Piala Thomas buat sekian lama ataupun masih belum menjelmakan pingat emas pertama Sukan Olimpik.

"Harapan saya adalah menguatkan perpaduan pasukan, (pemain) mempunyai percaya diri dan yakin boleh atasi mana-mana pasukan dan akhirnya cuba merampas Piala Thomas tersebut.

"Bukan mustahil dan bukan tidak boleh dicapai, ia boleh. Sekiranya pemain mempunyai elemen seperti semangat patriotisme dan semangat pertahan maruah kita sebagai negara badminton, kita mampu capai kejayaan tersebut (Piala Thomas 2024),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada skuad negara ke Piala Thomas dan Uber 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemain yang tersenarai kali ini merupakan antara barisan terbaik dipertaruhkan BAM memandangkan rata-rata mereka bukanlah muka baharu selain memiliki pengalaman luas serta pernah mengecap kejayaan dalam kejohanan peringkat tertinggi sebelum ini.

Selain juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan juara All England 2021 Lee Zii Jia, Mohamad Norza berharap pemain lain dapat menyinar dan membantu misi menamatkan kemarau 32 tahun Piala Thomas selepas kali terakhir merangkul kejuaraan pada edisi 1992 di ibu negara.

"Seperti Leong Jun Hao (pemain perseorangan lelaki) saya masih ingat beliau Juara Remaja Asia 2017 dan saya raya ini masanya untuk beliau memainkan peranan mengikut situasi, selepas ketiadaan Ng Tze Yong untuk menggalas tanggungjawab diberikan,” katanya.

Tze Yong terpaksa melupakan untuk beraksi di Piala Thomas susulan masih menjalani proses pemulihan akibat kecederaan belakang pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Februari lepas.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Norza pada masa sama mahu semua pihak menghentikan segala polemik melanda skuad negara dan bersatu bagi mencatat kejayaan membanggakan di Chengdu.

Selain kecederaan Tze Yong, skuad Piala Thomas terpalit dengan kontroversi bayaran hak imej kepada pemain profesional Zii Jia bagi menyertai kejohanan badminton berpasukan berprestij itu.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai berkata pengumuman skuad Piala Thomas terpaksa mengambil sedikit masa berikutan perbincangan dengan pihak Zii Jia mengenai ‘pampasan’ untuk mewakili skuad negara.

Zii Jia, yang meninggalkan BAM pada Januari 2022, ialah pemain yang ditaja oleh Victor iaitu pesaing kepada Yonex yang merupakan satu daripada penaja utama BAM.

Selain itu, tanpa mendedahkan nilai ganjaran, Mohamad Norza mengakui BAM ketika ini berada dalam keadaan selesa untuk memberi insentif lumayan kepada para pemain sekiranya skuad negara berjaya mencapai kejayaan di Chengdu.

Pemain lain yang bakal beraksi pada kejohanan itu ialah Cheam June Wei, Justin Hoh, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Muhammad Haikal Nazri dan Choong Hon Jian.

Malaysia, yang menjadi pasukan pilihan kelima dalam kempen Piala Thomas, diundi dalam Kumpulan D bersama-sama jaguh Eropah dan juara 2016, Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Sementara itu, Mohamad Norza berharap barisan pemain wanita negara mampu memberikan komitmen jitu pada setiap perlawanan di China biarpun pihaknya tidak meletakkan sasaran tinggi buat mereka.

Skuad Piala Uber negara terdiri daripada Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse, bakal berdepan tugas berat apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28