Bizara Aidilfitri Showcase tonjol bakat istimewa anak OKU

Konsert yang menampilkan kanak-kanak OKU berjaya membentuk tingkah laku mereka. (Gambar kecil: Wan Zakaria)
Konsert yang menampilkan kanak-kanak OKU berjaya membentuk tingkah laku mereka. (Gambar kecil: Wan Zakaria)
A
A
A

KOTA BHARU - 'Konsert kecil' sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri memberi peluang kepada ibu bapa 55 kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) di sebuah pusat pendidikan OKU di sini melihat perkembangan positif anak-anak mereka.

Majlis Bizara Aidilfitri Showcase ternyata membuktikan OKU dalam pelbagai kategori itu dapat mengubah tabiat dan tingkah laku mengikut suasana di sekeliling mereka.

Penyelaras majlis berkenaan, Wan Zakaria Wan Abu Bakar, 42, berkata, konsert lebih tiga jam itu menampilkan persembahan istimewa melibatkan kanak-kanak berkenaan termasuk sketsa, nyanyian, tarian dan ucapan hari raya.

Beliau yang juga pengasas Bizara Care Centre memberitahu, seramai 24 tenaga pengajar berusaha memastikan semua kanak-kanak menyertai persembahan dengan teratur dan mampu membuktikan keistimewaan mereka.

"Program kali kesembilan ini antara lain bertujuan mencungkil bakat anak-anak OKU berusia antara empat hingga 24 tahun," katanya.

Lebih sepuluh lagu hari raya popular sepanjang zaman dipersembahkan termasuk Alamak, Raya Lagi, Selamat Hari Raya dan Satu Hari Di Hari Raya.

Beliau tidak menafikan pada tahun pertama penganjuran berdepan masalah berikutan tingkah laku kanak-kanak yang sukar dikawal dan bertindak agresif.

"Kini semuanya sudah teratur dan mereka memahami keadaan yang perlu dilalui manakala ibu bapa hanya duduk dan menikmati konsert ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Wan Zakaria, antara OKU yang mendapat pendidikan di Bizara ialah autism, sindrom down, lembam dan masalah pertuturan.

"Kesemua guru di sini juga sudah menganggap mereka sebagai ibu bapa kedua kepada OKU," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!