Israel ubah Palestin jadi 'neraka kemanusiaan'

Kemusnahan dahsyat di kem pelarian Nuseirat di Deir al-Balah tengah Genting Gaza. Foto Agensi
Kemusnahan dahsyat di kem pelarian Nuseirat di Deir al-Balah tengah Genting Gaza. Foto Agensi
A
A
A

GENTING GAZA - Penduduk Palestin yang pulang semula ke bahagian utara kem pelarian Nuseirat di tengah Genting Gaza terkejut melihat kemusnahan dahsyat di kawasan itu selepas pengunduran rejim Zionis.

Sebahagian daripada mereka turut menyelamatkan barangan yang mungkin boleh digunakan lagi di bawah runtuhan struktur musnah dibedil.

Perang genosid Israel sejak lebih enam bulan lalu telah menyebabkan kira-kira 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal.

Data terbaharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan Gaza pada Khamis mendapati jumlah korban kezaliman rejim Zionis telah mencecah hampir 34,000 orang manakala angka mangsa cedera meningkat kepada 76,770 orang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan ofensif ganas sejak 7 Oktober lalu telah mengubah wilayah Palestin menjadi 'neraka kemanusiaan'.

Beliau turut memberi amaran kesilapan satu langkah bakal menyaksikan rantau Asia Barat terjerumus ke dalam kancah peperangan lebih meluas.

“Asia Barat kini berada di tepi jurang berbahaya. Konflik serantau berskala penuh bakal mengakibatkan kebinasaan besar,” ujarnya yang sekali lagi menggesa penguatkuasaan tempoh bertenang dan menuntut Israel memberikan lebih banyak akses bantuan ke enklaf berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, rejim Zionis memaklumkan ia terus mengebom puluhan sasaran di Gaza selepas Qatar selaku perantara proses damai mengesahkan usaha melaksanakan gencatan senjata telah terhenti akibat kegagalan pihak bertelagah untuk mencapai kesepakatan sejak beberapa minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, komuniti antarabangsa turut menggesa Israel supaya tidak meneruskan pelan ofensif lebih ganas ke atas Rafah, kawasan paling selatan di Gaza kerana dikhuatiri memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan di enklaf itu. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!