Piala Thomas: Tze Yong digugurkan, Hon Jian isi kekosongan

Tze Yong mengalami kecederaan belakang pada BATC 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lalu.
Tze Yong mengalami kecederaan belakang pada BATC 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lalu.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] NG Tze Yong disahkan tidak akan beraksi pada Piala Thomas 2024 dan kekosongan ditinggalkan naib juara Terbuka Artik 2023 itu akan digantikan dengan pemain beregu, Choong Hon Jian.

Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang memaklumkan keputusan berkenaan dicapai semalam setelah perbincangan mendalam bersama barisan kejurulatihan serta pengurusan.

"Kita gugurkan (Tze Yong) kerana keadaan dia tak memungkinkan untuk main, jadi kita buat keputusan dalam mesyuarat setelah berbincang.

"Kita memilih Hon Jian berdasarkan perbincangan dengan jurulatih beregu dan perseorangan selain perbincangan pihak pengurusan...kita harus melihat (keputusan) ini yang diperlukan pasukan dalam Piala Thomas," katanya kepada pemberita di ABM Bukit Kiara di sini pada Jumaat.

Selasa lepas Rexy memaklumkan Tze Yong perlu menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) susulan kecederaan tulang belakang yang dialaminya sekali gus bagi menentukan tahap kecergasan pemain di ranking ke-18 dunia itu.

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan itu pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Februari lepas dan telah menjalani pembedahan.

Rexy berkata, pemain negara ketika ini berada dalam keadaan positif untuk bertarung di China serta berharap Hon Jian, 23, akan menyertai kem latihan pusat di ABM secepat mungkin untuk mendapatkan semangat kerjasama berpasukan.

"Orang melihat bahawa pasukan kita ini seperti kelam-kabut tapi kita menunjukkan bahawa kita tetap fokus dan kem latihan ini berjalan lancar...dan saya rasa ini mungkin suatu kesempatan (untuk Hon Jian dan pasangannya Muhammad Haikal Nazri), mereka teruja (dengan) kesempatan yang diberikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rexy Mainaky menjawab soalan pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Jumaat. Foto: Bernama
Rexy Mainaky menjawab soalan pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Jumaat. Foto: Bernama

Menurut Rexy, pemain beregu Soh Wooi Yik dipilih sebagai ketua pasukan bagi kejohanan badminton berpasukan itu yang akan bermula pada 27 April hingga 5 Mei ini di Chengdu.

Ditanya peluang negara mengatasi Hong Kong dalam pusingan pertama, Rexy berkata, pemain perlu berwaspada apabila berdepan laluan rumit dan jika semuanya berjalan lancar, beliau menjangkakan skuad negara mampu memenangi perlawanan itu dengan mata 3-2 atau 4-1.

Ya, memang kalau lawan Hong Kong sesuatu yang agak rumit...kalau boleh lepas Hong Kong, bererti sebelah kaki sudah di suku akhir.

"Kita bergantung pada dua perseorangan dengan adanya Lee Zii Jia dan Junhao naik pemain kedua (selepas Ng Tze Yong digugurkan)," katanya.

BAM sebelum ini menyenaraikan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Muhammad Haikal Nazri dan terkini, Hon Jian bagi membawa cabaran negara ke Piala Thomas 2024.

Malaysia, selaku pilihan kelima kejohanan, diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Dalam pada itu, Rexy menerusi kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, badan induk itu tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesihatan pemain berusia 24 tahun itu yang mengalami keadaan jarang jumpa selepas pembedahan endoskopi tulang belakang.

"Susulan rundingan dengan kedua-dua doktor Institut Sukan Negara (ISN) dan doktor yang menjalankan pembedahan ke atas beliau, Tze Yong akan menjalani pembedahan untuk merawat simptom dan melanjutkan pemulihannya...beliau telah dikeluarkan daripada skuad Piala Thomas.

"Kesihatan dan kesejahteraan Tze Yong adalah yang paling utama...kami mesti melakukan apa yang terbaik untuk Tze Yong dan pastikan beliau sembuh sepenuhnya," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28