Tze Yong terlepas peluang ke Olimpik Paris 2024

Tze Yong
Tze Yong
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong terlepas peluang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Ini selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain ranking ke-18 dunia itu masih belum bersedia meneruskan latihan dan pertandingan peringkat tinggi kerana berisiko memburukkan lagi kecederaan belakangnya.

Justeru BAM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pakar bedah, ahli fisioterapi, jurulatih dan Tze Yong sendiri telah bersetuju pemain berusia 23 tahun itu belum bersedia secara fizikal untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China pada 9 hingga 14 April ini.

Meskipun kecewa kerana terpaksa melepaskan BAC, Tze Yong dalam kenyataan sama berkata, keutamaan pada masa ini adalah kesihatan dan pemulihannya.

"Saya amat berterima kasih atas sokongan pasukan perubatan dan jurulatih, saya akan memberi tumpuan kepada pemulihan saya untuk kembali lebih kuat. Saya harap dapat kembali ke gelanggang secepat mungkin dan menyumbang kepada pasukan," katanya.

Pemenang pingat perak perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2022 itu dijadualkan memulakan kempen BAC 2024 menentang pemain Taiwan Wang Tzu Wei.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pemain kelahiran Johor berkenaan telah memulakan latihan ringan namun belum meneruskan latihan berintensiti tinggi termasuk lompatan.

"Keutamaan kita kepada kesihatan dan kesejahteraan pemain. Pemulihan Tze Yong dan keadaan keseluruhannya menjadi perhatian utama kita.

Artikel Berkaitan:

"Kita pantau dengan teliti kemajuan dan keadaannya dalam beberapa minggu akan datang. Tze Yong mempunyai masa depan yang cerah, jadi amat penting untuk fokus kepada pemulihan sepenuhnya," katanya.

Meskipun terlepas peluang ke Olimpik Paris 2024, Rexy percaya Tze Yong yang masih muda mempunyai peluang untuk bersaing di kejohanan itu pada masa depan.

Pada Selasa lepas, Rexy dilapor berkata Tze Yong masih berpeluang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik sekiranya berjaya menjuarai BAC 2024.

Tze Yong telah terkeluar daripada senarai kedudukan 16 pemain teratas dalam Race to Paris menjelang tarikh akhir kelayakan pada 28 April ini.

Pemain profesional, Lee Zii Jia berada dalam kedudukan terbaik untuk beraksi buat kali kedua di pentas Olimpik selepas Tokyo 2020 apabila menduduki tangga ke-10 dalam carta Race to Paris dengan memungut 68,296 mata.

Sesebuah negara hanya boleh menghantar dua wakil bagi acara perseorangan, jika kedua-dua pemain berada pada kedudukan 16 teratas dalam ranking Race to Paris.

Dalam pada itu, Rexy berkata, Tze Yong mungkin dipertimbangkan menyertai skuad Piala Thomas 2024 yang akan berlangsung dari 27 April hingga 5 Mei di Chengdu, China, bergantung kepada keadaannya dalam beberapa minggu ini. - Bernama