Piala Thomas: Jun Hao sedia pikul tugas perseorangan utama negara

Jun Hao telah menyatakan kesediaannya untuk mengambil alih tugas perseorangan utama pada saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China. Foto fail Bernama
Jun Hao telah menyatakan kesediaannya untuk mengambil alih tugas perseorangan utama pada saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China. Foto fail Bernama
A
A
A

DI SEBALIK ketidakpastian status Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong, seorang lagi pemain negara Leong Jun Hao telah menyatakan kesediaannya untuk mengambil alih tugas perseorangan utama pada saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, dengan pengalaman diraih ketika edisi 2022 di Bangkok, beliau yakin ia dapat membantunya dan pasukan dalam saingan yang berlangsung di Chengdu High-Tech Zone Sports Centre pada 27 April hingga 5 Mei ini.

"Saya hanya perlu fokus kepada diri sendiri dan mempamerkan permainan terbaik di Chengdu,” kata pemain di ranking ke-37 dunia itu.

Sementara itu, Jun Hao berkata, beliau akan meningkatkan kecergasan dan konsistensinya selepas beraksi di Masters Sepanyol, minggu lepas.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu terkandas di suku akhir selepas tewas kepada wakil Taiwan, Chou Tien Chen 16-21, 12-21, yang juga merupakan pencapaian terbaiknya tahun ini selepas tersingkir awal dalam empat kejohanan sejak Januari lepas.

Kem perseorangan lelaki negara masih belum memuktamadkan wakil ke Piala Thomas susulan Zii Jia belum memberikan jawapan sama ada akan bersama skuad kebangsaan ke Chengdu atau sebaliknya, manakala Tze Yong pula masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan belakang dialaminya pada saingan Terbuka Malaysia, Januari lepas.

Malaysia yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah dan juara edisi 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: