Tze Yong berpeluang ke Piala Thomas 2024

Tze Yong. Foto fail Bernama
Tze Yong. Foto fail Bernama
A
A
A

KHABAR gembira buat kem badminton negara apabila dimaklumkan perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong kemungkinan berpeluang menyertai skuad negara ke kejohanan Piala Thomas 2024 berlangsung di Chengdu, China bermula 27 April ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pemain di ranking ke-18 dunia itu mempunyai masa yang cukup untuk pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan di bahagian belakang pada Februari lepas.

Beliau berkata, Tze Yong sudah kembali meneruskan latihan namun masih berhati-hati dan kurang agresif.

"Pasti (masih ada peluang ke Thomas) kerana (saya rasa) Tze Yong sudah siap kerana kita masih ada satu bulan (sebelum bermula).

"Keadaan Tze Yong kita lihat sudah ada pergerakan yang lebih baik namun mungkin dia masih berhati-hati dalam membuat pergerakan ekstrem (seperti) pukulan smash selain pergerakan untuk mengawal gelanggang besar sudah nampak positif,” katanya kepada pemberita di ABM di sini pada Selasa.

Tze Yong disahkan mengalami kesakitan tulang belakang akibat kecederaan dialami pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lepas.

Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini terlepas peluang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan, malah beliau sebelum ini menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China pada 9 hingga 14 April ini.

Piala Thomas 2024 akan berlangsung pada 27 April hingga 5 Mei di Chengdu, China. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28