[VIDEO] Mahkamah beri masa sebulan Yasin lantik peguam

A
A
A

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, memberi masa sebulan kepada penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman untuk melantik peguam bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah November tahun lalu.

Semasa pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman, mahkamah menetapkan 24 Mei depan untuk pengurusan kes selanjutnya dan lantikan peguam.

Azmi berkata, pelantun lagu ‘Kerna Dia’ ini perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan lantikan peguamnya seminggu sebelum tarikh berkenaan.

“Rekod rayuan akan diserahkan pada sebutan semula kes itu, kemudian langkah seterusnya hanya akan boleh dimaklumkan pada tarikh itu,” katanya.

Yasin ditemui di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat, bagi prosiding pengurusan kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah, November tahun lalu.
Yasin ditemui di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat, bagi prosiding pengurusan kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah, November tahun lalu.

Sementara itu, Yasin, 49, yang dibawa ke mahkamah oleh pihak polis dan kakitangan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak berkata, dia akan memaklumkan perkara itu kepada pihak mahkamah dalam masa terdekat.

Dalam prosiding ini, pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Yasin berkata, prosiding rayuan ini hanya satu pembaziran masa dan tenaga kerana kes ini telah dibuktikan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, di sini.

Artikel Berkaitan:

“Semasa perbicaraan, semua yang beri keterangan merupakan saksi penjawat awam, seperti anggota polis dan Jabatan Kimia termasuk doktor yang merawat saya di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

"Jadi maknanya, tiada yang terkhilaf, semua saksi telah memberi keterangan yang sempurna," katanya.

Dalam pada itu, juara Anugerah Lagu ke-16 menerusi lagu ‘Mimpi Laila’ ini berkata, pengalamannya dari tirai besi diungkapkan dalam buku yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

“Saya ada tulis buku, belum nak siap lagi, ia merupakan pengalaman sepanjang saya berada penjara dan di hospital bahagia.

"Nama buku itu ‘Dari Pentas Juara Ke Penjara’ namun saya tidak pasti, dapat terbitkan tahun ini atau tarikh lain,” katanya.

Pada 29 November tahun lalu, Yasin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas tiga kes dadah, namun diperintah ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Hakim, Faiz Dziyauddin memutuskan bahawa penyanyi atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman diletakkan di bawah penjagaan selamat di hospital itu untuk tempoh diperkenankan Sultan Selangor.

Pada 6 Julai 2022, Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!