Warga emas fasih Tamil rai Aidilfitri dengan jiran India

Menjadi kebiasaan buat Hasimah menerima kunjungan jiran India ke rumahnya setiap kali menyambut Aidilfitri.
Menjadi kebiasaan buat Hasimah menerima kunjungan jiran India ke rumahnya setiap kali menyambut Aidilfitri.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warga emas yang tular di TikTok baru-baru ini kerana fasih berkomunikasi menggunakan bahasa Tamil ketika jiran kaum India datang beraya sambil berselera menjamah rendang ayam dan ketupat mendapat perhatian ramai.

Suri rumah, Hasimah Saman, 61, berkata, dia mempelajari cara bertutur menggunakan bahasa Tamil melalui kawan-kawan berbangsa India ketika tinggal di estet TRP Trong di Taiping, Perak sejak kecil, namun mengakui tidak pandai membaca atau menulis dalam bahasa tersebut.

Menurut ibu sembilan anak itu, apabila sudah berkahwin sekitar awal 80-an dan berpindah Petaling Jaya, Selangor, majoriti jiran perumahannya berbangsa India tetapi ia tidak menjadi halangan untuk berkomunikasi dengan kaum atau penganut agama lain.

“Jadi, daripada situ saya masih amalkannya ketika bersembang dengan rakan-rakan India. Dalam keluarga, hanya saya dan arwah suami yang boleh bertutur bahasa Tamil, anak-anak tak pandai.

“Menerusi video jiran India bernama Kumarasan Sathya sekeluarga datang beraya ke rumah, ia memang menjadi tradisi atau kebiasaan kami kerana sudah berpuluh tahun hidup berjiran.

“Arwah suami dan mendiang ayah Kumarasan, pak cik Katia berkawan baik. Dahulu, arwah ada buka warung jadi bila ada memasak memang akan panggil mereka makan sekali,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hasimah (kanan) bergambar bersama keluarga Kumarasan.
Hasimah (kanan) bergambar bersama keluarga Kumarasan.

Hasimah berkata, meskipun suami telah meninggal dunia, tetapi dia masih berkawan baik dengan jiran India sekeluarga kerana sudah menganggap seperti saudara sendiri.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, apabila tular video tersebut di TikTok dengan jumlah tontonan melebihi 1.4 juta, dia mengakui terhibur dengan komen warganet yang turut berkongsi pengalaman masing-masing beraya bersama kaum lain.

“Banyak reaksi positif berbanding negatif, tapi ada netizen komen kenapa cakap India sedangkan orang Melayu. Apa salahnya kan sebab saya belajar sendiri daripada kecil, mestilah nak cakap Tamil kalau berjumpa kawan.

“Saya seronok baca komen kerana secara tak langsung sedar rakyat Malaysia sebenarnya hidup dalam perpaduan, justeru saya harap jangan biarkan perbezaan politik jejaskan hubungan,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28