Kerajaan salur peruntukan pembangkang, lembaran baharu politik negara

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PENGUMUMAN yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung persetujuan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang merupakan lembaran baharu kepada politik negara.

Sebelum ini pelbagai polemik timbul dalam kalangan ahli Parlimen disebabkan isu berkenaan antaranya dakwaan kerajaan berat sebelah selain dikatakan Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri disebabkan mereka tidak diberi peruntukan.

Bagaimanapun, diharapkan selepas ini isu peruntukan kepada pembangkang tidak lagi dijadikan topik perdebatan dalam sidang Parlimen dan hanya menfokuskan kepada masalah rakyat, itu yang sepatutnya diutamakan.

Fadillah berkata, satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu juga berkata, persetujuan tersebut diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung di Sri Perdana, Putrajaya, pada Rabu dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming memberitahu, peruntukan yang bakal disalurkan kepada wakil rakyat pembangkang adalah tertakluk kepada terma dan syarat.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, bagaimanapun syarat-syarat tersebut belum lagi dibincangkan.

Dalam pada itu, Pas menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang pada dasarnya sudah bersetuju mempertimbangkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, pihaknya akan meneliti Memorandum Persefahaman (MoU) yang dikatakan akan diberikan kepada ahli Parlimen terbabit.

"Kita menyambut baik keputusan itu namun akan meneliti kandungan MoU tersebut terlebih dahulu," katanya.

Keputusan kerajaan itu mampu mengembalikan fungsi semak dan imbang pembangkang sekali gus dapat membangunkan negara.

Tiada lagi isu kekurangan dana untuk pembangunan negeri pembangkang. Bagaimanapun, perancangan tersebut seharusnya benar-benar dilaksanakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28