Peruntukan bersyarat kepada wakil rakyat pembangkang - Kor Ming

Kor Ming (dua dari kanan) mencuba menggunakan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik di Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu, pada lawatan kerja beliau bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT pada Khamis. Foto Bernama
Kor Ming (dua dari kanan) mencuba menggunakan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik di Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu, pada lawatan kerja beliau bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Peruntukan yang bakal disalurkan kepada wakil rakyat pembangkang adalah tertakluk kepada terma dan syarat, kata Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, keputusan itu yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan semalam, bagaimanapun belum lagi membincangkan mengenai syarat-syarat tersebut.

"Peruntukan (kepada wakil rakyat pembangkang) itu diberi tertakluk kepada syarat dan terma yang akan dibincangkan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Kuala Kubu Bharu dekat sini pada Khamis.

Terdahulu pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti komponen Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya, semalam.

Sehubungan itu, Fadillah berkata, satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai desas-desus DAP akan mengemukakan calon berbangsa Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini, Kor Ming berkata, kaum apa sekali pun yang diketengahkan parti itu, tidak seharusnya dijadikan isu.

"Tunggu tarikh (pengumuman calon)...kita jangan mainkan isu, yang penting bagi saya tidak kira mana-mana kaum, semua anak kita. Yang penting calon itu dapat berkhidmat, berbakti dan bekerja kepada warga Kuala Kubu Bharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!