Pemandu lori maut tong minyak meletup

Seorang pemandu lori maut selepas sebuah tong minyak hidraulik meletup di pusat besi buruk di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Khamis. Foto hiasan
Seorang pemandu lori maut selepas sebuah tong minyak hidraulik meletup di pusat besi buruk di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Khamis. Foto hiasan
A
A
A

SIBU - Seorang pemandu lori maut selepas sebuah tong minyak hidraulik meletup di pusat besi buruk di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 tengah hari dan pasukan dari Balai Polis Sentral dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, mangsa, seorang warga tempatan berusia 37 tahun itu cedera parah di kepala dan putus tangan kiri.

"Saksi awam di tempat kejadian mengatakan mangsa memegang sebatang besi dan menuju ke arah bengkel di pusat besi buruk itu dan dipercayai telah memotong batang besi berkenaan di atas sebuah tong minyak hidraulik dengan menggunakan pemotong oksigen.

"Akibat kepanasan, tong terbabit telah mengembang dan meletup. Kejadian ini tidak mengakibatkan kerosakan atau kecederaan yang lain. Tiada sebarang unsur jenayah berlaku," katanya dalam kenyataan media malam Khamis.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan menyeru orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian yang berlaku. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!