Kes meningkat, 387 pelajar dijangkiti Influenza A di Selangor

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah pelajar dijangkiti Influenza A di negeri ini terus menunjukkan peningkatan daripada 245 pelajar semalam kepada 387 pelajar pada hari ini.

Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Mahanom Mat Sam berkata, sebanyak 142 penambahan jumlah pelajar dijangkiti virus itu sehingga jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, jumlah sekolah terlibat turut menunjukkan peningkatan kepada 149 sekolah pada hari ini berbanding 105 sekolah semalam.

"Klang mencatatkan daerah tertinggi di negeri ini membabitkan 127 pelajar di 42 sekolah dengan diikuti Petaling Perdana dengan 97 kes dari 38 sekolah.

"Sepang mencatatkan 53 kes melibatkan 12 sekolah, Petaling Utama kekal 23 kes dari 10 sekolah dan Gombak 28 kes dari 16 sekolah.

"Selain itu, Kuala Langat 17 kes dari lapan sekolah, Hulu Selangor melibatkan 16 kes dari lima sekolah, manakala Hulu Langat mencatat 10 kes dari 8 sekolah dan Sabak Bernam tujuh kes dari tiga sekolah," katanya dalam kenyataannya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau memberitahu, sehingga kini, tiada kelas atau sekolah ditutup.

"Kesemua kes yang dilaporkan telah menerima rawatan di klinik dan hospital berhampiran serta dilaporkan stabil.

Artikel Berkaitan:

"Mereka diberi cuti rehat dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.

"Pesakit yang menerima rawatan di wad dan dipantau di hospital juga ada yang telah dibenarkan pulang," katanya.

Mahanom memberitahu, sehingga kini, sebanyak 15 sekolah telah dijalankan mitigasi dan penyahkuman secara keseluruhannya.

"Proses ini diteruskan kepada 10 sekolah yang terlibat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Pelajar dijangkiti influenza A di Selangor meningkat