Permohonan lesen ejen berbeza dengan pas MM2H

Tiong King Sing
Tiong King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Pembaharuan visa peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) tidak ada kena mengena dengan permohonan lesen ejen MM2H kerana ia adalah dua perkara yang berbeza.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, bagi pemegang pas MM2H yang telah tamat tempoh, mereka boleh terus berurusan di pusat sehenti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memperbaharuinya.

Katanya, beliau juga telah mengarahkan jabatan di bawah MOTAC untuk membantu pemohon memperbaharui pas peserta dalam tempoh peralihan itu sekali gus tiada masalah timbul seperti tidak dapat memperbaharui pas dan sebagainya.

"Bagaimanapun, ia berbeza dengan ejen MM2H yang mana perlu mendaftar semula perniagaan masing-masing menerusi saluran disediakan mengikut syarat yang ditetapkan termasuk ejen memiliki lesen tamat tempoh iaitu perlu membuat permohonan semula bagi pendaftaran.

"Kesemua itu perlu melalui proses semakan dan kelulusan akan diberikan sekiranya permohonan dibuat menepati syarat-syarat diperlukan. Ini kerana MOTAC menerima banyak aduan daripada pemohon yang menyertai program MM2H," jelasnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu berkenaan ejen program MM2H yang tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan mereka selepas ianya tamat tempoh pada 31 Mac.

Tambah King Sing, ada segelintir ejen yang mengenakan bayaran tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit kepada pelanggan mereka namun ia tidak bermakna permohonan mereka dijamin lulus.

"Ini kerana, setiap permohonan perlu melalui proses sama dan kelulusan hanya diberikan jika ia mematuhi syarat diperlukan. Jika proses permohonan gagal, maka mereka yang menanggung kerugian dan terkesan adalah pemohon itu sendiri iaitu pelanggan kepada ejen tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bukan itu sahaja, semasa proses meluluskan dokumen visa kediaman untuk program MM2H ini, MOTAC berjaya mengesan segelintir ejen yang memajak atau menyewakan lesen kepada pihak lain," ujarnya.

Beliau turut menasihati Presiden Persatuan Perunding MM2H, Anthony Liew supaya tidak mempolitikkan perkara tersebut atau cuba mengelirukan orang ramai dengan tanggapan tidak tepat.

"Kami tidak berniat untuk menyusahkan sesiapa, tetapi apa yang kami lakukan ini semata-mata kerana mahu melindungi semua pihak. Apa yang kami hairan, kenapa ada segelintir ejen yang enggan mendaftar semula lesen perniagaan mereka?

"Jangan jadi seperti ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Lebih baik bersama memainkan peranan dengan memberi kefahaman kepada ejen terhadap tugas serta peranan mereka agar dapat menyumbang kepada pembangunan negara khususnya sektor pelancongan," katanya.