Staf Google ditahan selepas mogok bantah kontrak AS$1.2 bilion firma dan Israel

Sekumpulan sembilan kakitangan Google ditahan pada Selasa malam selepas melancarkan mogok duduk selama lapan jam di pejabat syarikat itu di New York dan California.
Sekumpulan sembilan kakitangan Google ditahan pada Selasa malam selepas melancarkan mogok duduk selama lapan jam di pejabat syarikat itu di New York dan California.
A
A
A

SAN JOSE - Sekumpulan sembilan kakitangan Google ditahan pada Selasa malam selepas melancarkan mogok duduk selama lapan jam di pejabat syarikat itu di New York dan California, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kakitangan itu membantah penglibatan Google dalam Project Nimbus, kontrak kerajaan Israel bernilai AS$1.2 bilion yang meliputi pengkomputeran awan dan perkhidmatan kecerdasan buatan daripada Google dan Amazon Web Services.

Semasa mogok itu, pekerja di New York menduduki ruang umum di tingkat 10 pejabat Chelsea, manakala pekerja di kampus Sunnyvale, California, mengambil alih pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud Thomas Kurian.

Mogok itu disiarkan secara langsung oleh pertubuhan aktivis No Tech For Apartheid, yang mendakwa mewakili pekerja teknologi yang menentang menjalankan perniagaan dengan Israel.

Protes terbaru itu dicetuskan oleh laporan TIME yang mendedahkan Google menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada Kementerian Pertahanan Israel.

Menurut laporan itu, Google memberi kementerian diskaun 15 peratus ke atas yuran perundingan kerana 'rangka kerja Nimbus' mengikut kontrak dan kementerian telah membayar syarikat teknologi itu lebih daripada US$1 juta untuk perkhidmatan perundingan.

Sejak pengumumannya pada 2021, Project Nimbus telah menghadapi protes dalaman yang berterusan di Google dan Amazon.

Sebagai respons kepada protes itu, pengurus komunikasi luaran Google Cloud, Anna Kowalczyk menyatakan melalui e-mel kepada The Verge bahawa Projek Nimbus tidak ada kaitan dengan tentera Israel.

Artikel Berkaitan:

Kowalczyk menjelaskan bahawa kontrak Nimbus adalah untuk beban kerja yang berjalan di awan komersial Google oleh kementerian kerajaan Israel, yang bersetuju untuk mematuhi Syarat Perkhidmatan dan Dasar Penggunaan Boleh Diterima Google.

Beliau menambah bahawa kerja Google tidak ditujukan kepada beban kerja yang sangat sensitif, dikelaskan atau ketenteraan yang berkaitan dengan senjata atau perkhidmatan perisikan. - Bernama-dpa

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!