[VIDEO] Pemotongan subsidi bahan api diteruskan tahun ini - Rafizi

A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan meneruskan tindakan untuk memotong subsidi bahan api pada tahun ini bagi mengurangkan defisit fiskal negara.

Memetik laporan Bloomberg, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan, langkah itu perlu dibuat bagi menguruskan kesan berantai daripada pemotongan subsidi berkenaan dengan mengambil kira kemungkinan berlaku peningkatan inflasi sebelum pelaksanaannya.

"Kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan, susulan jangkaan rasionalisasi bahan api tersebut.

"Kita berada pada landasan yang tepat untuk memberi bantuan bersasar kepada golongan memerlukan. Kerajaan tetap akan melaksanakan tindakan berkenaan," katanya.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

Dalam pada itu, Rafizi turut memaklumkan bahawa garis masa yang ditetapkan perlu dipatuhi bagi mencapai sasaran fiskal 4.3 peratus.

Tambah beliau, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membatalkan subsidi besar dan meluaskan asas pendapatan untuk meningkatkan keyakinan pelabur di negara ini.

"Kerajaan merancang untuk mengecilkan defisit belanjawan kepada 4.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar tahun ini berbanding 5 peratus tahun lalu. Pelabur tidak sabar dengan pelancaran lambat pembaharuan yang dijanjikan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun ringgit merosot kira-kira 4 peratus tahun ini dan menghampiri paras paling lemah sejak krisis kewangan Asia 1998. Saya tidak terlalu mengambil berat tentang prestasi mata wang kerana ia tidak menjejaskan minat pelabur asing dan tidak menghalang hasrat kerajaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kaedah kepada alternatif tersebut adalah untuk membuat perubahan struktur kepada ekonomi dengan mewujudkan salah satu ekosistem permulaan terbaik dunia di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan berusaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan bagi syarikat baharu global untuk memanfaatkan pembiayaan dan juga memberi perkhidmatan kepada pasaran Asia Tenggara yang lebih besar.

“Malaysia sepatutnya menjadi tempat yang lebih baik untuk syarikat baharu dalam sektor teknologi dan digital dengan mengambil kira semua kelebihan yang dimiliki.

"Kerajaan kini sedang menumpukan usaha bagi mewujudkan salah satu ekosistem 'start-up' terbaik dunia dalam negara.

Pada masa sama, Khazanah Nasional Bhd akan mewujudkan 'super fund' bersama dana berdaulat lain untuk melabur dalam syarikat permulaan, yang diharapkan kerajaan bakal menarik firma modal usaha niaga ke dalam negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!