Pelajar boleh guna subsidi tiket penerbangan hingga Oktober ini

Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan dari Pusat Zakat Sabah di Dewan SK Pekan Bongawan, Papar.
Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan dari Pusat Zakat Sabah di Dewan SK Pekan Bongawan, Papar.
A
A
A

PAPAR - Bantuan subsidi tiket penerbangan kepada semua pelajar Sabah yang diberikan kerajaan negeri tidak terhad digunakan sempena Aidilfitri sahaja sebaliknya boleh digunakan pada bila-bila masa sehingga Oktober tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penyaluran subsidi sebanyak RM600 setiap seorang pelajar itu juga turut menggunakan pelbagai kaedah.

Menurutnya, subsidi itu boleh disalurkan terus kepada pelajar terutama yang mendapat tajaan biasiswa Yayasan Sabah, kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sendiri.

"Bagi pelajar yang tidak mendapat tajaan dan hanya menggunakan Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) sahaja, mereka akan kita kenal pasti melalui universiti masing-masing yang telah disahkan untuk kita salurkan bantuan kewangan ke akaun pelajar.

"Subsidi ini juga boleh dituntut dan digunakan sehingga Oktober ini. Ini bukan hanya untuk Adilfitri tetapi sepanjang setahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dari Pusat Zakat Sabah di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Bongawan pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan jumlah pelajar di Semenanjung, Labuan dan Sarawak yang sudah memanfaatkan subsidi tiket penerbangan tersebut selepas diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.

Sementara itu, diminta mengulas perkembangan capaian liputan 4G di seluruh Sabah, beliau memaklumkan secara keseluruhan Sabah telah mendapat lebih 80 peratus capaian bagi 4G di kawasan berpenduduk.

"Bagi kawasan yang menghadapi masalah kita cari jalan. Sekarang kita sedang berusaha untuk mewujudkan Starlink, kita akan fokus mana kawasan yang bermasalah teknologi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT).

Artikel Berkaitan:

"Di bawah kementerian, kita ada 300 Starlink dan sekarang 50 sudah dipasang di mana keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran, Nabawan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!