Berkat ulang kaji dengan ibu bapa dorong pelajar raih 8A

Dari kiri: Nik Ufaira, Harith Amrullah dan Muhammad Saif Zakwan
Dari kiri: Nik Ufaira, Harith Amrullah dan Muhammad Saif Zakwan
A
A
A

SEREMBAN - Tiada apa yang lebih membanggakan bagi tiga murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban dan Nilai di sini apabila masing-masing memperoleh keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Saif Zakwan Shahrul Zaim, Harith Amrullah Almuhaymin dan Nik Ufaira Nik Muhammad Hafiz, 12, mengakui berkat mengulang kaji pelajaran dengan ibu bapa mendorong mereka beroleh kejayaan.

Menurut Muhammad Saif Zakwan, mengulang kaji secara santai pada waktu malam memudahkan proses pembelajaran selain ibu bapanya sentiasa mengingatkan supaya tidak meninggalkan solat.

"Saya tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang itu walaupun pada awalnya agak ragu-ragu, lagi-lagi Bahasa Arab ia merupakan subjek kegemaran saya," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Bagi Harith Amrullah pula, keputusan diterima adalah hadiah buat ibu bapa dan gurunya yang selama ini tidak putus asa mencurahkan ilmu walaupun dia hanya memperoleh 4A ketika peperiksaan percubaan.

"Saya harap kejayaan seperti ini dapat dikekalkan apabila memasuki sekolah menengah nanti sekali gus dapat mencapai cita-cita menjadi doktor," katanya.

Dalam pada itu, Nik Ufaira berkata, teguran guru ketika dalam kelas mendorong kepada kecemerlangan diperolehnya.

Dr Zulkifli (tengah) berkesempatan beramah mesra dengan pelajar.
Dr Zulkifli (tengah) berkesempatan beramah mesra dengan pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang saya tidak fokus dalam kelas, ustazah pun bimbang kalau ia berterusan. Tanpa teguran saya tidak sampai ke tahap ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang hadir mengumumkan keputusan di sekolah tersebut berkata, seramai 27 pelajar di Sekolah SRI Seremban dan 13 pelajar di Sekolah SRI Seremban cawangan Nilai memperolehi 8A dalam peperiksaan UPKK pada Khamis.

Beliau berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dalam persediaan terbaik bagi menghadapi peperiksaan.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, seramai 28,531 daripada 230,587 calon menduduki UPKK 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi A dalam kesemua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran berkenaan ialah al-Quran, Ulum Syariah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!