Lelaki ditemui maut dalam mesin pembancuh simen

Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh di dalam mesin pembancuh simen di sebuah kilang membuat batu blok di Seksyen 35, di Shah Alam pada Rabu. Gambar hiasan 123rf
Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh di dalam mesin pembancuh simen di sebuah kilang membuat batu blok di Seksyen 35, di Shah Alam pada Rabu. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh di dalam mesin pembancuh simen di sebuah kilang membuat batu blok di Seksyen 35, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian tersebut pada jam 11.44 pagi daripada orang awam yang memaklumkan terjumpa satu mayat lelaki terapung dalam tangki berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tangan sebelah kanan dari paras siku dan kepalanya terputus.

"Pemeriksaan oleh forensik Selangor juga mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh yang boleh menyebabkan kematian si mati.

"Mangsa dipercayai terjatuh sendiri ke dalam tangki bancuhan simen dan terkena bilah pembancuh," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Iqbal berkata, identiti lelaki itu telah dikenal pasti oleh waris melalui pengecaman tatu pada lengan sebelah kiri.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai sebagai kematian mengejut (SDR).

Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mayat lelaki berusia lingkungan 50-an itu berjaya dikeluarkan dari dasar tangki berkeluasan tiga meter tersebut pada jam 4 petang. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28