Kereta hilang kawalan punca dua lelaki maut - Polis

Keadaan kereta Proton Persona remuk selepas bertembung dengan lori di Jalan Kimanis-Keningau, Papar.
Keadaan kereta Proton Persona remuk selepas bertembung dengan lori di Jalan Kimanis-Keningau, Papar.
A
A
A

PAPAR - Kereta hilang kawalan ketika mendaki bukit punca dua lelaki maut manakala dua lagi termasuk bayi cedera dalam kejadian di Jalan Kimanis-Keningau pada tengah malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Papar Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.46 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan kejadian membabitkan seorang pemandu kereta sewa jenis Proton Persona membawa tiga sekeluarga dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Keningau.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian ketika sedang mendaki bukit, kenderaan Proton Persona hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sehingga menyebabkan lori yang datang dari arah Keningau bertembung.

"Akibat kejadian itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan dua lelaki iaitu pemandu dan penumpang hadapan maut di lokasi kejadian manakala seorang wanita berusia 32 tahun iaitu penumpang di bahagian belakang cedera dan anak perempuannya berusia 12 bulan terselamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Susulan kejadian itu, Kamaruddin berkata, wanita yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Papar sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

"Hasil siasatan awal juga mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu Proton Persona yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik sehingga memasuki lorong bertentangan.

"Bagaimanapun kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum itu melaporkan mangsa Mohd Izuddin Abu Hassan, 32, dan Mohd Kasim Labadillah, 33, disahkan meninggal dunia selepas Proton Persona yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori.