Perak tanggung kos bawa pulang kitab

Seorang pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir sanggup membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya bagi mendapatkan 200 kitab turath atau kitab tradisi ilmu Islam karangan ulama alam Melayu dari sekitar 1920-an hingga 1960-an.
Seorang pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir sanggup membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya bagi mendapatkan 200 kitab turath atau kitab tradisi ilmu Islam karangan ulama alam Melayu dari sekitar 1920-an hingga 1960-an.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan menanggung kos membawa pulang lebih 200 khazanah kitab turath tulisan ulama Nusantara semenjak tahun 1920 yang dikumpulkan seorang pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya menghargai usaha dilakukan Muhammad Nur Hadi Salehuddin yang menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mengumpulkan kesemua kitab tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan berbincang mengenai pembiayaan dan bantuan untuk pelajar berkenaan serta urusan membawa balik kitab-kitab tersebut.

Saarani (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Saarani (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

"Kita dimaklumkan bahawa perbincangan sedang dilakukan untuk membolehkan kitab-kitab berkenaan yang merupakan khazanah sangat berharga ditempatkan di perpustakaan penyelidikan MAIPk. Kita ada perpustakaan itu yang telah diwujudkan ya bagi mengumpul, menyimpan dan merekodkan sumber dan bahan bersejarah berkaitan pentadbiran agama Islam khusus negeri Perak.

"Sudah tentu ia dialu-alukan oleh ramai ilmuan dan agamawan untuk merujuk kepada buku-buku yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Pada Selasa, MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya bersedia membantu membawa pulang kitab yang dikumpul itu.

Kitab-kitab tersebut termasuklah karangan Syeikh Mohd Idris al-Marbawi dan Syeikh Jaafar Hussein yang kebanyakannya dikarang dalam tulisan Jawi dan Aceh sekitar tahun 1920-an hingga 1960-an.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Saarani mengumumkan RM2 juta bagi Inisiatif Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 yang disediakan khusus untuk meringankan beban kewangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

"Bantuan Sara Diri disediakan bertujuan membantu menampung perbelanjaan sepanjang pengajian seperti kos kenderaan, sewa rumah, makanan, percetakan bahan pembelajaran dan sebagainya.

"Bantuan Kecemasan pula disediakan bagi membantu mahasiswa yang ditimpa musibah seperti bencana alam, kemalangan, masalah kesihatan, kecurian dan perkara di luar jangka," katanya.

Jelas Saarani, sepanjang tahun lalu, sebanyak RM1.82 juta telah disalurkan kepada 3,451 mahasiswa bagi Bantuan Sara Diri manakala Bantuan Kecemasan telah membantu seramai 31 mahasiswa dengan peruntukan sebanyak RM36,000.

Menurutnya, bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri masih mengekalkan peruntukan sedia ada sebanyak RM2 juta dan permohonan akan diuruskan oleh Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

Bantuan Sara Diri dibuka permohonannya dalam dua fasa iaitu yang pertama bermula hari ini, 17 April 2024 sehingga 17 Mei 2024 manakala fasa kedua dijangka bermula bulan Ogos atau September nanti manakala permohonan bagi Bantuan Kecemasan pula akan dibuka sehingga bulan Oktober 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!