MAIPk bantu bawa pulang kitab turath dari Mesir

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Muhammad Nur Hadi (duduk) bersama Pegawai Atase Pendidikan Perak di Mesir, Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi (kiri) dan Penolong Pegawai Atase Pendidikan Perak di Mesir, Mohd Khairul Adli Ahmad Padli di Pejabat Atase Pendidikan Mesir.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Muhammad Nur Hadi (duduk) bersama Pegawai Atase Pendidikan Perak di Mesir, Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi (kiri) dan Penolong Pegawai Atase Pendidikan Perak di Mesir, Mohd Khairul Adli Ahmad Padli di Pejabat Atase Pendidikan Mesir.
A
A
A

IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bersedia membantu membawa pulang lebih 200 khazanah kitab turath tulisan ulama Nusantara semenjak tahun 1920 yang dikumpulkan seorang pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, inisiatif pengumpulan kitab-kitab tersebut dilakukan penuntut Universiti Al-Azhar, Muhammad Nur Hadi Salehuddin yang merupakan pelajar tajaan MAIPk.

Menurutnya, kitab-kitab tersebut termasuklah karangan Syeikh Mohd Idris al-Marbawi dan Syeikh Jaafar Hussein yang kebanyakannya dikarang dalam tulisan Jawi dan Aceh dari sekitar tahun 1920-an hingga 1960-an.

"Naskhah diperoleh dari Maktabah Mustafa al-Halabi yang juga merupakan syarikat percetakan dan penerbitan tertua di Mesir serta dari maktabah-maktabah di sekitar Masjid al-Azhar bakal ditempatkan di Perpustakaan Penyelidikan MAIPk.

"Pihak MAIPk juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan kelestarian khazanah berharga ini terus berkekalan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhammad Nur Hadi (tengah) ketika bertemu Pegawai Atase Pendidikan Perak di Mesir, Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi (kanan) dan Penolong Pegawai Atase Pendidikan Perak di Mesir Mohd Khairul Adli Ahmad Padli di Pejabat Atase Pendidikan Mesir.
Muhammad Nur Hadi (tengah) ketika bertemu Pegawai Atase Pendidikan Perak di Mesir, Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi (kanan) dan Penolong Pegawai Atase Pendidikan Perak di Mesir Mohd Khairul Adli Ahmad Padli di Pejabat Atase Pendidikan Mesir.

Muhammad Nur Hadi merupakan penuntut tahun empat Universiti Al-Azhar, Mesir di dalam bidang Usuluddin pengkhususan Pengajian Hadis.

Anak ketiga daripada lapan beradik ini berasal dari Padang Rengas mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Perempuan, Padang Rengas sebelum menyambung pelajaran ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Addiniah, Changkat Jering dan SABK Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Artikel Berkaitan:

Beliau mula mengumpul karya turath tulisan ulama Nusantara sejak tahun 2020 yang diperoleh dari Maktabah Mustafa al-Halabi, salah satu syarikat percetakan dan penerbitan tertua di Mesir.

Pada 13 April lalu, media melaporkan Muhammad Nur Hadi sanggup membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya bagi mendapatkan 200 kitab turath atau kitab tradisi ilmu Islam karangan ulama alam Melayu dari sekitar 1920-an hingga 1960-an itu.

Antara koleksi dalam simpanan Muhammad Nur Hadi ialah Kamus Idris Al-Marbawi nukilan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pertama Dr Syeikh Idris al-Marbawi, Doa Hari Arafah karya ulama Kelantan Syeikh Jaafar Husein selain kitab ditulis ulama dari Indonesia dan Pattani.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28