Anwar ucap terima kasih, hargai profesionalisme Jabatan Peguam Negara

Anwar Ibrahim. -fotoBERNAMA
Anwar Ibrahim. -fotoBERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan dan terima kasih beliau atas sikap profesionalisme Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mengumumkan untuk tidak mendakwa mana-mana pihak, berhubung dakwaan serangan seksual oleh seorang ahli politik, kerana tidak terdapat cukup keterangan untuk berbuat demikian.

"Saya telah meneliti kenyataan Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek. Saya mengalu-alukan keputusan pihak Jabatan Peguam Negara tersebut, serta saya turut ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih saya kepada pihak berkuasa atas profesionalisme yang ditonjolkan,” katanya menerusi ciapan di Twitter, malam tadi.

Dalam kenyataan media semalam, Engku Nor Faizah berkata setelah mengkaji kesemua keterangan yang diperoleh dalam Kertas Siasatan daripada Polis Diraja Malaysia, AGC mendapati terdapat percanggahan fakta yang material, yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang, di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

Anwar dalam ciapan di Twitter beliau itu juga berkata sungguhpun dakwaan yang sah tidak boleh diketepikan dan harus disiasat bersesuaian dengan proses hukum, namun beliau tidak dapat memaafkan tuduhan dan penghinaan terhadapnya.

"Untuk memastikan keadilan ditegakkan, tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini, akan diteruskan," tambahnya.

Media melaporkan bahawa pada 4 Disember tahun lepas, Muhammed Yusoff Rawther iaitu pegawai penyelidik Anwar telah membuat akuan berkanun, mendakwa dirinya diserang Anwar pada 2 Okt, 2018, tetapi Ahli Parlimen Port Dickson itu menafikan dakwaan berkenaan, kerana beliau sedang sibuk berkempen bagi pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson pada masa itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Kes cabul: Jabatan Peguam Negara putuskan tiada pendakwaan terhadap Anwar

Artikel Berkaitan: