X

Kindly register in order to view this article
!

Konflik AS-Iran: Mapim hantar memorandum kepada PM

Mohd Azmi (tujuh dari kiri) bersama delegasi dari Iran dan beberapa NGO yang hadir pada mesyuarat khas tergempar mengenai implikasi perang Amerika Syarikat (AS) - Iran di sini hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera mengadakan sidang tergempar sebelum peperangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berlaku.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keputusan menyerahkan memorandum dipersetujui daripada hasil perbincangan dalam mesyuarat khas tergempar mengenai implikasi perang AS-Iran.

Menurutnya, selain penyerahan memorandum tersebut, pihak Mapim dijangka mengadakan pertemuan dengan mufti-mufti di seluruh negara.

“Kami memutuskan untuk memberikan penerangan dan mengadakan perbincangan dengan semua mufti di negara ini supaya mereka prihatin dan berbincang tentang apakah yang mereka boleh sarankan kepada umat Islam supaya jangan biarkan musuh memecah-belahkan kita dan menghancurkan satu lagi negara Islam.

“Dalam tempoh terdekat, kita juga akan mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya pihak berkenaan dapat memahami isu ini dan dapat memberikan maklumat terperinci kepada ahli,” katanya selepas mesyuarat khas tergempar mengenai implikasi perang AS - Iran.

Beliau berkata, sembilan deklarasi telah dipersetujui secara bersama dalam mesyuarat diadakan itu antaranya menuntut ketegangan di rantau Asia Barat diatasi melalui perundingan antara negara-negara yang bersengketa, berasaskan kebenaran dan keadilan mengikut kerangka undang-undang antarabangsa dilaksanakan segera.

Hadir sama, pensyarah dan penyelidik Universiti Al-Mostafa, Dr Mohammad Hasan Zamani; pensyarah, Mohammad Reza Khoshkhoo; pensyarah, ulama sunni Imam Solat Jumaat di Oshnavieh Kordestan, Iran, Mamosta Syed Mostafa Khatami; Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ummah dan Wanita Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Abdul Ghani Samsudin.

Selain itu, turut hadir 13 NGO antaranya Aliansi Masjid Sedunia Pertahankan AlAqsa, Teras Pengupayaan Melayu, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Persatuan Kebajikan Rakyat Sejagat.

Mengulas lanjut beliau berkata, Mapim juga bercadang untuk menghantar satu delegasi ke Iran bagi melihat sendiri keadaan di sana.

Katanya, delegasi berkenaan juga boleh menyampaikan pandangan kepada kerajaan Iran supaya kestabilan rantau itu tidak terancam.