Peniaga ketam dituduh hina Raja Perlis

Tertuduh diiringi oleh anggota polis selepas keluar dari Mahkamah Sesyen Kangar pada Selasa.
Tertuduh diiringi oleh anggota polis selepas keluar dari Mahkamah Sesyen Kangar pada Selasa.
A
A
A

KANGAR - Seorang peniaga ketam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik terhadap Raja Perlis di laman Facebook pada bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet pada Selasa.

Berdasarkan pertuduhan, Hasbullah yang berasal dari Changlun didapati melalui Facebook menggunakan profil Muhammad Muhammad (ku tehh ku muhamnad) secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Raja Perlis dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu pada 6 Mac lalu sekitar jam 3.26 pagi dan hanya disedari pengadu yang juga pelayar Facebook pada 7 pagi hari sama.

Berdasarkan perkara itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana melibatkan kesalahan serius membabitkan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Beliau memohon jaminan tinggi perlu diberikan jika mahkamah memutuskan untuk membuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang diwakili peguam Syazwan Shaidan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) pula memohon mahkamah menawarkan jaminan minimum disebabkan Hasbullah mempunyai masalah kesihatan mental selain menanggung ibunya yang uzur dan lumpuh.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di sebuah hospital psikiatri selama sebulan.

Mahkamah menetapkan jaminan hanya akan ditentukan selepas menerima laporan penilaian psikiatri tertuduh.

Hakim seterusnya menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28