Kes tembak di KLIA: Suspek ditahan masa ambil laporan kesihatan

Mohd Shuhaily (dua dari kiri) semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Selasa.
Mohd Shuhaily (dua dari kiri) semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan selepas 36 jam melarikan diri daripada polis.

Hafizul Harawi, 38, diberkas polis semasa mengambil laporan kesihatan di Hospital Pakar Perdana di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selepas kejadian terbabit suspek dikatakan telah memandu menuju ke Kelantan dan tidak singgah di mana-mana.

"Suspek dikatakan tiba di sini selepas Zuhur pada hari kejadian.

"Dia kemudian menginap di sebuah hotel di Kota Bharu dengan cara mendaftar menggunakan kad pengenalan milik orang lain," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, pada hari Isnin sekitar jam 3 petang suspek telah berjaya diberkas oleh sepasukan anggota selepas mengambil laporan kesihatan yang telah siap dibuat sebelum kejadian tersebut.

Ujarnya, suspek pernah berada di Kelantan seminggu sebelum kejadian kerana memasuki negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand di sini.

"Suspek sebelum itu dari Arab Saudi telah ke Bangkok kemudian ke Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Semasa di sini suspek dipercayai telah membuat pemeriksaan kesihatan lebih awal. Kita tangkap sebab suspek nak mengambil laporan tersebut.

"Buat masa ini terlalu awal saya katakan laporan kesihatan tersebut untuk membuat permohonan visa,"

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, pada Ahad, suspek, Hafizul Harawi, 38, melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan KLIA dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu jemaah umrah.

Bagaimanapun, satu das tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan dilaporkan parah.

Suspek kemudian terus melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis di Kota Bharu, Kelantan, pada Isnin.

Suspek kemudian telah direman tujuh hari sehingga 22 April.

Siasatan awal polis dipercayai kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28