Suspek kes tembak di KLIA dipercayai cuba lari ke Makkah melalui Thailand

A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi kelmarin sebelum ditahan pada petang semalam disyaki mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih lagi dalam siasatan.

"Saya tidak menyangkal kemungkinan tersebut. Ia susulan penemuan sejumlah wang tunai dalam mata wang Riyal dan Baht yang dirampas bersama suspek.

"Suspek juga didapati ada membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Pakar Perdana di sini," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dibawa ke Mahkamah Majistret 3 Kota Bharu pada Selasa bagi prosiding permohonan reman. Foto Bernama
Suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dibawa ke Mahkamah Majistret 3 Kota Bharu pada Selasa bagi prosiding permohonan reman. Foto Bernama

Menurut beliau, suspek dipercayai membuat pemeriksaan tersebut seminggu sebelum kejadian tembakan berlaku.

Ujarnya, suspek kemudian ditahan semasa mengambil laporan kesihatan di hospital swasta tersebut pada Isnin jam 3 petang.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum kejadian, suspek dikatakan dari Arab Saudi telah ke Bangkok sebelum masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

"Semasa di sini suspek dipercayai telah membuat pemeriksaan kesihatan lebih awal. Kita tangkap sebab suspek nak mengambil laporan tersebut.

"Buat masa ini, terlalu awal saya katakan laporan kesihatan tersebut untuk membuat permohonan visa," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi pada Ahad, suspek berusia 38 tahun melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan KLIA dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu jemaah umrah.

Bagaimanapun, satu das tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan dilaporkan parah.

Suspek kemudian terus melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis di Kota Bharu pada Isnin.

Suspek kemudian telah direman tujuh hari sehingga 22 April.

Siasatan awal polis dipercayai kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28