Kakak nekad redah asap, api selamatkan adik bongsu

Faridah (dua kanan) menunjukkan kesan kebakaran ketika anggota bomba menjalankan siasatan dan kerja-kerja forensik di rumahnya di Taman Scientex, Pasir Gudang pada Ahad.
Faridah (dua kanan) menunjukkan kesan kebakaran ketika anggota bomba menjalankan siasatan dan kerja-kerja forensik di rumahnya di Taman Scientex, Pasir Gudang pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang remaja perempuan nekad meredah asap dan api untuk menyelamatkan adik bongsunya semasa rumah mereka terbakar dalam kejadaian di Taman Scientex dekat sini pada Selasa sehari sebelum 1 Syawal.

Nur Farah Syazatul Alieya Abdul Hamed, 16, berkata, ketika itu dia yang sedang memandikan adik perempuannya, 2, di tingkat atas terdengar bunyi letupan dan menyangkakan anak-anak jirannya sedang bermain mercun di depan rumah.

"Saya turun dari tingkat atas dan terperanjat mendapati asap sudah menebal di tingkat bawah sebelum berlari menjerit meminta pertolongan jiran dan mengetuk pintu rumah mereka. Kemudian saya ke tingkat atas semula untuk menyelamatkan adik saya sebelum berlari merempuh asap tebal dan api membawanya keluar rumah.

"Ketika kejadian saya sedang memandikan adik saya sementara ibu dan dua abang berada di rumah nenek di Bandar Bistari Perdana," katanya ketika ditemui selepas keluarganya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor di kediamannya pada Ahad.

Anggota bomba menjalankan siasatan dan kerja-kerja forensik di bahagian hadapan rumah Faridah di Taman Scientex, Pasir Gudang pada Ahad.
Anggota bomba menjalankan siasatan dan kerja-kerja forensik di bahagian hadapan rumah Faridah di Taman Scientex, Pasir Gudang pada Ahad.

Kebakaran pada jam 12 tengah hari di rumah teres dua tingkat itu memusnahkan bahagian depan dan ruang tamu rumah berkenaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Video kebakaran rumah terbabit yang dirakamkan penduduk taman itu tular di media sosial sehingga mengundang simpati orang ramai kerana berlaku pada hari terakhir dalam bulan Ramadan dan sedang dalam kesibukan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, ibunya, Faridah P Hamsa, 40, berkata, semasa kejadian jiran-jiran datang membantu memadam kebakaran dengan memanjat rumah sebelah dan menggunakan paip getah sehingga api dapat dikawal.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata) berterima kasih dan bersyukur kerana tindakan pantas jiran berjaya memadam kebakaran malah menghalangnya daripada merebak ke rumah sebelah.

"Semasa kejadian saya dalam perjalanan mahu mengambil baju raya anak lelaki saya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. Dalam perjalanan kereta pula pancit sebelum ahli keluarga dan jiran menelefon memaklumkan rumah saya terbakar," katanya.

Ibu kepada empat anak berusia dua sehingga 19 tahun itu berkata, dia seakan tidak percaya apabila mendapat tahu musibah tersebut sebelum bergegas pulang.

"Apabila sampai sudah ramai orang termasuk ahli keluarga di rumah. Saya terkedu dan seakan tidak percaya rumah terbakar. Biasanya saya tolong orang yang jadi mangsa kebakaran atau mangsa banjir, kini saya pula jadi mangsa. Sekarang barulah saya tahu emosi mangsa kebakaran macam mana," katanya.

Nor Hafizah (dua kiri) menyampaikan bantuan wang tunai, makanan kering dan barang keperluan kepada Faridah (tengah) dan Nur Farah Syazatul (dua kanan) di rumhanya di Taman Scientex, Pasir Gudang pada Ahad
Nor Hafizah (dua kiri) menyampaikan bantuan wang tunai, makanan kering dan barang keperluan kepada Faridah (tengah) dan Nur Farah Syazatul (dua kanan) di rumhanya di Taman Scientex, Pasir Gudang pada Ahad

Menurutnya, pakaian raya, seragam sekolah dan semua pakaian di tingkat atas menjadi hitam serta berbau sementara bantuan empat bungkusan pakaian raya untuk asnaf juga musnah dalam kebakaran itu yang dirancang untuk dihantar pada petang Selasa.

Sementara itu, Pegawai JKM Johor Bahru, Nor Hafizah Ahmad berkata, pihaknya menyampaikan bantuan segera RM300 selain sumbangan makanan, selimut, tuala dan barang keperluan lain bagi meringankan beban Faridah serta keluarganya.

Sebelum itu, Faridah menerima sumbangan Presiden Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung), Zaini Atan yang juga Timbalan Presiden Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor (DTUPBNJ) di rumahnya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Faridah P Hamsa Maybank 151146594661.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!