Pemandu e-hailing resah harga tambang turun

Mohd Kamal (kiri) dan Norzabidi
Mohd Kamal (kiri) dan Norzabidi
A
A
A

ALOR SETAR - Kebanyakan pemandu e-hailing di kawasan utara resah berikutan harga tambang didakwa turun meskipun permintaan terhadap perkhidmatan itu meningkat sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Setiausaha Persatuan Pemandu e-Hailing Utara (NeHDA), Mohd Kamal Yahya berkata, pihaknya mendapati harga tambang e-hailing ketika ini terlalu murah dan semakin menurun bagi setiap tugasan dilakukan mereka.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan kadar margin keuntungan pemandu e-hailing semakin menipis dan berkurang sehingga ke peringkat rugi.

"Perbezaan harga yang ketara dirasakan oleh pemandu setempat, malah situasi ini berbeza dengan musim perayaan lalu, yang mana harga berlipat ganda disebabkan surcaj kepada permintaan yang tinggi.

"Dengan keadaan orang ramai balik kampung dan perlu berdepan kesesakan lalu lintas, harga tambang adalah tidak munasabah dengan jarak perjalanan, kos semasa, masa dan tenaga dikeluarkan pemandu e-hailing," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohd Kamal, mereka berharap tambang meningkat seiring peningkatan permintaan ketika musim perayaan, namun berlaku sebaliknya.

Beliau turut melahirkan rasa hairan apabila harga tambang turun walaupun permintaan kepada perkhidmatan meningkat semenjak cuti Aidilfitri hingga sekarang.

"Cumanya, harga mula naik sedikit pada Sabtu, namun sebelum itu harga tidak berubah dan berkurang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, situasi itu berbeza dengan sebelum ini, yang mana tambang e-hailing meningkat dengan baik seiring musim perayaan.

"Malah, ia tidak sama seperti sambutan Tahun Baharu Cina beberapa bulan lepas apabila tambang ketika musim perayaan amat baik," katanya.

Beliau berkata, selain harga tambang menurun, pemandu e-hailing juga berdepan dengan kenaikan bayaran insurans sehingga 70 peratus tahun ini berbanding tahun lepas.

"Jadi, ia menyebabkan ada pemandu terpaksa menolak pesanan tertentu yang dilihat tidak boleh menampung kos," katanya.

Sementara itu, Pengerusi NeHDA, Norzabidi Bahador berkata, pemandu e-hailing tertekan dan terbeban dengan kenaikan bayaran insurans sehingga 70 peratus itu.

Beliau berkata, sebagai contoh, pemandu perlu membayar insurans hingga mencecah RM700 tahun ini berbanding hanya kira-kira RM400 pada 2023.

"Pihak berkuasa mewajibkan insurans e-hailing bagi membolehkan kereta beroperasi dan ia adalah tambahan kepada insurans kenderaan peribadi sedia ada.

"Bagaimanapun, pemandu tidak lagi mampu menyerap kenaikan kos insurans memandangkan pelbagai faktor lain termasuk trend tambang yang semakin menurun," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!