Hantaran didakwa hina Agong, Hezry tampil mohon maaf

Hantaran Hezry Yasin yang tampil membuat permohonan maaf pada Ahad. Hezry Yasin (kiri).
Hantaran Hezry Yasin yang tampil membuat permohonan maaf pada Ahad. Hezry Yasin (kiri).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang individu dikenali, Hezry Yasin yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Facebook miliknya hingga mencetuskan kemarahan orang ramai tampil membuat permohonan maaf pada Ahad.

Hezry berkata, beliau tidak menyangka dan mengakui terkejut apabila tulisannya itu mendapat kritikan daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan pandangan tersebut.

"Saya mohon maaf atas kekhilafan saya. Jujur saya agak ‘speechless’ (tidak mampu berkata apa-apa). Saya mohon maaf atas kesilapan saya.

"Penulisan saya itu adalah pandangan peribadi saya sendiri. Sungguh, memang langsung tidak ada niat menghina institusi beraja. Cuma sekadar pandangan daripada diri sendiri.

"Apa-apa pun, sekali lagi saya mohon maaf buat semua. Saya tidak menafikan doa untuk sesama muslim itu sangat baik," tulis Hezry dalam Facebook miliknya.

Menurut Hezry, beliau mendoakan Malaysia menjadi sebuah negara yang aman dan makmur seperti yang disebutkan dalam al-Quran.

"Semoga Malaysia menjadi sebuah negara seperti yang disebut oleh ALLAH SWT dalam surah As-Saba," katanya.

Pada Ahad, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, 26 Pemuda UMNO bahagian di negeri ini akan membuat laporan polis mengenai hantaran yang dimuat naik individu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu bagi menggesa siasatan dibuat terhadap individu tersebut yang memuat naik entri dalam media sosialnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan sehingga tengah hari Ahad laporan polis sudah dibuat Pemuda UMNO dari bahagian Pasir Gudang; Parit Sulong; Pontian; Labis, Pagoh dan Batu Pahat.

Menerusi hantaran yang dibuat, Hezry mendakwa dia enggan menadah tangan ketika doa untuk Yang di-Pertuan Agong dan keluarga semasa solat Jumaat kerana menurutnya tidak memperjuang dan mempertahankan Islam ketika agama itu dikecam.

Dakawnya lagi, Yang di-Pertuan Agong membiarkan rakyat marhaen mempertahankan Islam sehingga dikecam, diperli dan ditertawakan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28