Hantaran hina Agong: UMNO Johor mahu tindakan tegas diambil

Ahmad bersalaman dengan penduduk di Benut pada Ahad.
Ahmad bersalaman dengan penduduk di Benut pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Tindakan tegas perlu dikenakan ke atas individu yang didakwa memuat naik hantaran di media sosial menghina Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan tegas membabitkan undang-undang itu perlu bagi memberi pengajaran agar tidak menyentuh isu bangsa, agama dan raja (3R) yang boleh mencetuskan sentimen perkauman.

"Kita sudah nyatakan dengan tegas, bahawa penghinaan terhadap bangsa, agama dan raja merupakan isu 3R yang amat sensitif.

"Oleh itu, individu berkenaan wajar diambil tindakan segera lebih-lebih lagi selepas laporan polis dibuat oleh 26 Pemuda UMNO Bahagian di Johor.

"Ia penting agar ada tindakan undang-undang dikenakan terhadap sebarang muat naik hantaran yang menyentung 3R seumpama ini. Jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan menjadi api dalam sekam," katanya ketika ditemui di Benut pada Ahad.

Dalam hantaran di akaun Facebook yang dipercayai sudah dimuat turun itu, antara lain individu berkenaan menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat di negeri ini.

Beliau juga dilaporkan mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu berkenaan dikenali sebagai Hezry Yasin yang didakwa merupakan Pengarah Media Baharu Pemuda Pas Selangor.

Artikel Berkaitan:

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut menyokong penuh tindakan Pemuda UMNO Johor yang mengarahkan kesemua 26 bahagian sayap membuat laporan polis terhadap individu terbabit.

“Laporan polis itu wajar sebagai tindak balas kepada penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang sebagai Ketua Agama dan Pemerintah Negeri Johor yang menaungi rakyat negeri ini.

“Bagaikan tidak serik-serik kerana masih ada pihak yang masih memainkan isu 3R yang menyentuh isu agama, raja dan kaum walaupun pelbagai peringatan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa," ujarnya.

Ambil tindakan sewajarnya terhadap Hezry

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Madyasir Ahmad Basir berkata, kenyataan yang dimuat naik Hezry, nyata berunsur fitnah, menjatuhkan dan menghina Institusi Diraja di negara ini.

“Hari ini kita buat satu laporan polis terhadap Pengarah Media Pas Selangor, Hezry Yasin yang mengatakan ketika solat Jumaat di Johor, ketika berdoa untuk Yang di-Pertuan Agong, dia tidak menadahkan tangan.

“Sebab katanya, doa hanya untuk pemimpin yang mempertahankan dan memperjuangkan Islam dan mempertahankan Islam bila Islam diancam; sebab itu dia tak nak doakan Yang di-Pertuan Agong dan keluarga baginda.

“Jadi,dia nak katakan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak pertahankan dan perjuangkan Islam bila diancam...oleh itu kita buat laporan polis agar pihak berkuasa dapat ambil tindakan sewajarnya kerana kita tidak mahu lagi isu-isu sebegini mengundang rasa tidak hormat dan penghinaan terhadap Institusi Diraja berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mewakili Ketua Pemuda Bahagian UMNO Johor, Noor Azlen Ambros pada sidang akhbar ketika Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, pada Ahad.

Difahamkan, kesemua 26 Bahagian Pemuda UMNO Johor bakal membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Tambah Madyasir, dalam satu kenyataan Noor Azlen turut menegaskan bahawa amalan mendoakan ketua agama dan pemerintah adalah rutin di semua masjid dan surau di negeri ini.

“Amalan ini bukan sahaja dibuat setiap kali selepas solat Jumaat, malah turut dilakukan setiap kali selepas solat fardu di setiap waktu di masjid dan surau di seluruh negeri.

“Ini kerana, doa doa adalah kunci kekuatan dan rahsia kejayaan umat Islam. Oleh itu, doa kepada ketua agama dan pemerintah menjadi kunci dan rahsia yang telah memberi kesejahteraan serta keamanan yang dikecapi oleh seluruh rakyat di negeri Johor selama ini dan Islam juga menganjurkan setiap Muslim mendoakan sesama umat dan saudara sesama Islam, termasuk ulul amri (pemimpin),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!