Agih tembikai percuma kepada perantau tersangkut kesesakan

Seorang lelaki memberi sepinggang tembikai kepada pengguna jalan raya di Jalan Pantai, Kampung Beris Tokku, Setiu. Gambar kecil: Tembikai yang dipotong
Seorang lelaki memberi sepinggang tembikai kepada pengguna jalan raya di Jalan Pantai, Kampung Beris Tokku, Setiu. Gambar kecil: Tembikai yang dipotong
A
A
A

SETIU - Tindakan beberapa individu di tepi jalan di Jalan Pantai, Kampung Beris Tokku dekat sini yang berkongsi rezeki dengan memberi potongan tembikai kepada perantau yang berdepan kesesakan jalan raya berjaya mencuri tumpuan netizen di media sosial.

Menerusi video yang dimuat naik pengguna TikTok dikenali Aiman92 itu memaparkan potongan tembikai diletakkan dalam pinggan plastik tersebut diberikan secara percuma kepada pengguna jalan raya yang difahamkan dalam perjalanan pulang dari kampung halaman ke rumah mereka selepas meraikan sambutan Aidilfitri.

Video berkenaan kemudiannya tular pada Ahad dengan meraih tontonan lebih 430,000 dan dikongsikan lebih 1,170 kali melalui platform berkenaan.

"Kongsi rezeki ketika jalan tengah sesak. Hati-hati memandu semua dan semoga selamat sampai ke destinasi. Amin," tulis pemilik akaun berkenaan.

Situasi itu mendapat pelbagai reaksi netizen malah ada yang memuji tindakan individu berkenaan yang melakukan amal dengan memberi sedekah kepada pengguna jalan raya ketika cuaca panas melanda negara ketika ini.

"Terbaik sahabat... kesibukan masing-masing menyambut Hari Raya tetapi sahabat sanggup luangkan masa bersedekah dengan cara tersendiri," ujar pengguna TikTok ZULNZ81.

"Terbaik orang Terengganu... buat baik pasti dibalas baik. Kongsi rezeki, semoga dilimpahi rezeki yang berkah. Negeri cantik, budaya menarik," luah pengguna Tiktok TGIF.

"Suka tengok pelbagai cara anak-anak tempatan raikan perantau," kata pengguna Tiktok jeliloni.

Artikel Berkaitan:

"Masya-ALLAH... rakyat Malaysia ini bagus dan baik-baik semuanya tanpa mengira kaum," ujar pengguna Tiktok norfatihahjalil.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!