Mayat tepi jalan, polis mohon maklumat awam

Mayat yang dibungkus dengan selimut dijumpai di tepi jalan namun pemeriksaan mendapati, tiada unsur jenayah ditemui pada jasad mayat.
Mayat yang dibungkus dengan selimut dijumpai di tepi jalan namun pemeriksaan mendapati, tiada unsur jenayah ditemui pada jasad mayat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai satu mayat yang ditemui di tepi jalan di Kuala Tasek Machang Bubok di sini supaya tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pada Sabtu lalu, polis menerima panggilan mengenai penemuan mayat tersebut pada jam 2.55 petang.

Tan Cheng San
Tan Cheng San

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di kawasan kebun kelapa sawit yang terletak di tepi jalan Kampung Kuala Tasek.

"Mayat ditemui dalam keadaan dibungkus kain selimut dengan memakai baju-T berwarna hijau serta berkain pelikat berwarna kelabu. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Cheng San, mayat tersebut disyaki bukan warga tempatan berikutan tiada tanda suntikan Bacilus Calmette-Guerin (BCG).

"Kita juga mendapati tiada kesan kecederaan seperti ditikam atau luka pada tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

"Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Bukit Mertajam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah saluran darah menyempit.

"Identiti mangsa masih belum dapat dipastikan sepenuhnya dan kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

"Maklumat boleh disalurkan ke Ibupejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.