Pemilihan calon penting pada PRK Kuala Kubu Baharu

Dr Syed Agil Alsagoff
Dr Syed Agil Alsagoff
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu memainkan peranan penting membezakan siapa yang akan menang dan siapa yang akan kalah.

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff, beberapa persoalan boleh mempengaruhi pengundi terhadap calon-calon parti bertanding pada PRK kali ini.

Ujarnya, antaranya ialah kesediaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk meletakkan calon muda di kawasan Kuala Kubu Baharu bagi menyantuni pengundi di kawasan berkenaan.

"Calon-calon yang bakal bertanding juga memerlukan strategi terbaik untuk meningkatkan atau memperbaiki pembangunan di Kuala Kubu Baharu mengikut keperluan penduduk.

"Adakah mereka (calon bertanding) dapat menyediakan pembinaan kawasan-kawasan perumahan untuk membantu golongan B40 di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau bagaimanapun berpandangan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu masih lagi dikuasai DAP berdasarkan sentimen pengundi-pengundi Cina terhadap kepimpinan calon DAP yang lalu.

Selain itu, beliau berkata, faktor pengundi muda seramai 11,890 orang akan memberi kesan besar kerana keterujaan mereka untuk meneruskan kepimpinan calon DAP yang merupakan parti dalam kerajaan sekali gus dapat menjanjikan keharmonian, keamanan dan kestabilan politik.

"Sementara masalah kegawatan ekonomi dan masalah negara yang lain tidak memberi kesan terhadap PRK Kuala Kubu Baharu memandangkan prestasi kerajaan semasa mampu menerajui negara dengan baik dan menjelmakan kestabilan ekonomi serta politik walaupun dagangan ringgit masih kabur untuk mencapai nilai asal sebelum ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, calon PH untuk PRK Kuala Kubu Baharu masih lagi dalam perbincangan.

Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata, pihaknya menerima banyak cadangan nama sebagai calon PH dalam PRK itu dan senarai nama berkenaan sedang dipertimbangkan.

Sementara itu, pada Sabtu, Pas pula dilaporkan akan menyerahkan kepada pimpinan PN untuk menghantar calon yang akan bertanding pada PRK Kuala Kubu Baharu susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah bagaimanapun yakin mereka dapat memenangi kerusi itu berikutan banyak isu yang didakwa gagal diselesaikan kerajaan pusat ketika ini.

Pada 4 April lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya pada 21 Mac.

Kee Hiong yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh yang akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!