PRK Kuala Kubu Baharu: Pas serah kepada PN hantar calon

Mohd Amar menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kawasan Pengkalan Chepa pada Sabtu.
Mohd Amar menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kawasan Pengkalan Chepa pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas menyerahkan kepada pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk menghantar calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah bagaimanapun yakin mereka dapat memenangi kerusi itu berikutan banyak isu yang didakwa gagal diselesaikan kerajaan pusat ketika ini.

"Jika kita boleh meyakinkan rakyat tentang kemampuan PN selain isu yang menyebabkan tidak puas hati rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH), saya percaya kita boleh menang dengan bergaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1445 Hijrah Pas Kawasan Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

Mohd Amar memberitahu, kemungkinan kerusi itu akan ditandingi oleh Gerakan berdasarkan persetujuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

"Bagaimanapun setakat ini belum ada keputusan baharu, jadi kemungkinan besar Gerakan akan bertanding.

"Bagi Pas, kita ada keyakinan bahawa PN boleh merampas kerusi itu tidak kira sama ada calonnya daripada Gerakan, Pas atau Bersatu," katanya.

Jelas beliau, Pas sebagai sebahagian komponen PN akan membantu dan memastikan calon menang dan menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, gelombang sokongan kepada PN masih kekal selepas lebih setahun PRU.

"Kita juga percaya sokongan boleh dilonjakkan lagi kerana banyak isu tidak dapat diselesaikan.

"Rakyat melihat ketidakmampuan PH untuk menyelesaikan isu ekonomi, mata wang dan kenaikan harga minyak yang semuanya dijanjikan dalam kempen mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!