PN masih cari calon sesuai bertanding PRK Kuala Kubu Baharu

Mohd Hasnizan
Mohd Hasnizan
A
A
A

HULU SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) belum menetapkan calon akhir yang bakal bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang dijadual berlangsung pada 11 Mei depan.

Pengerusi PN Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, kerusi tersebut ditandingi Gerakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu namun belum memutuskan calon yang akan bertanding di kerusi berkenaan pada PRK kali ini.

"Kami di peringkat Hulu Selangor dan negeri tidak membincangkan perkara ini secara khusus.

"Parti di bawah gabungan PN akan mencadangkan nama-nama calon dan akhirnya akan diputuskan oleh pimpinan PN pusat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, pengumuman calon diumum selepas keputusan dimuktamad oleh pimpinan pusat.

"Kriteria yang diperlukan adalah calon boleh menang. Siapa calonnya, kena tunggu pimpinan putuskan apabila tiba masanya. Insya-ALLAH," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei ini manakala undi awal pada 7 Mei.

Bagi tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 27 April 2024.

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.