Cuaca panas: JPNT arah kegiatan luar bilik darjah dibatalkan

Tiada sebarang aktiviti luar bilik darjah apabila suhu mencapai 35 darjah Celcius pada tiga hari berturut-turut sebagaimana garis panduan telah ditetapkan KPM - Gambar hiasan. Gambar kecil: Jelani
Tiada sebarang aktiviti luar bilik darjah apabila suhu mencapai 35 darjah Celcius pada tiga hari berturut-turut sebagaimana garis panduan telah ditetapkan KPM - Gambar hiasan. Gambar kecil: Jelani
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan kepada setiap sekolah di negeri ini agar membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah berikutan cuaca panas melanda negara.

Pengarahnya, Jelani Sulong berkata, semua sekolah diingatkan agar mematuhi garis panduan ditetapkan selain mengambil berat terhadap penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid terutama menghadapi keadaan cuaca panas.

Menurutnya, tiada sebarang aktiviti luar bilik darjah apabila suhu mencapai 35 darjah Celcius pada tiga hari berturut-turut sebagaimana garis panduan telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"JPNT sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid-murid khususnya dalam menghadapi cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

"Saya sentiasa mengingatkan kepada semua Pegawai Pendidikan Daerah agar semua sekolah mematuhi garis panduan tersebut.

"Hal ini bagi memastikan ia dapat mengambil tindakan serta langkah-langkah sewajarnya dalam aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid bagi mengurangkan komplikasi akibat cuaca panas semasa melaksanakan aktiviti luar bilik darjah ketika cuaca panas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, menerusi satu hantaran pemilik Facebook memaklumkan terdapat sebuah sekolah di Marang akan mengadakan program merentas desa pada Khamis ini.

Perkara tersebut menimbulkan kerisauan ibu bapa apabila program sedemikian tetap diteruskan ketika cuaca panas melanda negara.

Artikel Berkaitan: