Rakam gambar Aidilfitri di rumah usang nenek

Mohd Naizul merakam gambar bersama ahli keluarga besarnya di rumah usang neneknya di Kampung Jambu Merah, Melor.
Mohd Naizul merakam gambar bersama ahli keluarga besarnya di rumah usang neneknya di Kampung Jambu Merah, Melor.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pekerja swasta di Besut, Terengganu tidak melepaskan peluang mengambil gambar di rumah usang neneknya di Kampung Jambu Merah, Melor di sini setiap kali sambutan Aidilfitri.

Mohd Naizul Mat Zain, 38, melakukan perkara itu sejak tiga tahun lalu kerana mula menganggap rumah berusia lebih 70 tahun itu sangat istimewa selain banyak nostalgia indah yang terakam sepanjang hidupnya.

Mohd Naizul turut berkongsi gambar berkenaan di satu 'page' di Facebook dan turut mendapat respons ahlinya bahawa rumah lama menyimpan banyak kenangan.

Menurutnya, rumah itu kini sudah tidak berpenghuni kerana neneknya, Minah Saleh, 90-an, berpindah dan tinggal bersama salah seorang bapa saudaranya, beberapa meter dari rumah berkenaan.

Mohd Naizul mengambil gambar bersama keluarga di hadapan rumah usang neneknya di Kampung Jambu Merah, Melor.
Mohd Naizul mengambil gambar bersama keluarga di hadapan rumah usang neneknya di Kampung Jambu Merah, Melor.

"Selepas nenek berpindah, saya tidak pernah melepaskan peluang bergambar di kawasan rumah itu kerana kami pernah melakar kenangan bersama di sini.

"Apabila sudah tiada penghuni, semua kenangan masa kecil bersama keluarga kembali diingati," katanya kepada Sinar Harian.

Kongsinya lagi, rumah kayu tiga bilik itu berada di kawasan yang luas dan pemandangannya juga sangat cantik kerana dikelilingi sawah padi manakala di hadapannya pula ialah tali air.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan sepupu sangat suka menangkap ikan dan kami pastinya bermain di sawah, menangkap belalang dan mandi air perigi di rumah nenek," katanya.

Mohd Naizul memberitahu, ibunya, Karimah Jusoh, 65, dibesarkan di rumah berkenaan dan mengikut bapanya, Mat Zain Jusoh, 69, berpindah ke Besut selepas berkahwin namun tetap pulang ke kampung untuk bersama keluarga jika ada kelapangan atau sambutan hari raya.

Jelasnya lagi, ketika awal 90-an mereka menaiki bas 'lompat' yang mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke rumah neneknya dan tinggal beberapa hari di sana.

Mohd Naizul bersama keluarga merakam gambar kenangan di rumah usang neneknya di Kampung Jambu Merah, Melor pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
Mohd Naizul bersama keluarga merakam gambar kenangan di rumah usang neneknya di Kampung Jambu Merah, Melor pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Bagaimanapun kata Mohd Naizul, rumah itu kini sudah uzur dan setakat ini tiada perancangan untuk membaikinya kerana masing-masing mempunyai kediaman sendiri.

Bapa kepada empat anak itu memberitahu, setiap tahun menjadi satu kewajipannya bersama isteri Nurul Husna Mohd, 37, pulang beraya bersama keluarga di Melor.

"Insya-ALLAH saya akan terus mengambil gambar rumah itu selagi ia masih 'berdiri' kerana itulah antara kenangan indah dalam hidup saya bersama keluarga," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28